PETRA JAYA: Upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi di Dataran Ibu Pertiwi akan dipromosikan dengan lebih aktif untuk menarik lebih ramai pengunjung, khususnya pelancong dari luar negara.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah memulakan usaha promosi dengan mengadakan acara ini pada Ahad pertama setiap bulan.
“Kita telah memulakan promosi, DBKU telah melaksanakannya sejak sebulan yang lalu.
“Saya yakin pelancong juga sudah mengetahui tentang acara ini kerana mereka dapat melihat pemandangan Kuching dari pelbagai sudut ketika berkunjung ke sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi edisi September di Dataran Ibu Pertiwi di sini, hari ini.
Uggah juga berkata upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Sarawak malah dapat menyemarakkan lagi semangat patriotisme.
Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi; Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Ir Aidel Lariwoo; Timbalan Menteri Pembangunan Pelabuhan, Dato Majang Renggi dan Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmy Othman.
Upacara menaikkan bendera ini telah dilaksanakan sejak Julai lalu dan giliran Uggah menyempurnakan upacara tersebut pada hari ini bagi edisi September.
Dalam pada itu, upacara ini bertujuan untuk memastikan penukaran dan pengibaran bendera dilakukan dengan tertib dan hormat.
Oleh Mohd Neenatul Aizal