KUCHING: Jalan Gambier, Jalan Main Bazaar, dan Jalan India antara kawasan yang akan diberi tumpuan untuk dizonkan sebagai kawasan warisan di bawah inisiatif Old Kuching Smart Heritage (OKSHE).
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, kerajaan akan mengenal pasti bangunan dan tapak yang perlu dipelihara sebelum proses pewartaan dilaksanakan.
“Kawasan berkenaan mempunyai beberapa bangunan dan tapak lama termasuk Court House, Round Tower, Masjid India dan Saint Thomas’ Cathedral.
“Usaha ini turut melibatkan kedai-kedai lama di kawasan berkenaan yang berada di bawah pemilikan pihak swasta.
“Kalau tidak, ia akan dirobohkan atau ditukar. Ini penting kerana kita sedang melihat pembangunan Kuching, termasuk pelaksanaan ART,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Program Awam OKSHE di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, undang-undang baharu akan diperkenalkan bagi mengawal pemeliharaan bangunan dan monumen yang dikenal pasti dalam zon berkenaan.
“Bagaimanapun, kerajaan akan mengadakan libat urus dengan pemilik premis terlebih dahulu sebelum perundangan itu diperkenalkan.
“Kita perlu libat urus dengan pemilik premis dan menerangkan kepada mereka bahawa aset ini akan dilindungi untuk masa depan.
Jika perlu bayaran pampasan, akan ada bayaran pampasan,” jelasnya.
Tambah beliau, aspek penyelenggaraan bangunan turut akan diberi perhatian selepas sesuatu kawasan diwartakan, termasuk kerja mencantikkan bangunan yang memerlukan penambahbaikan.
“Usaha pewartaan warisan turut melibatkan pokok-pokok lama yang mempunyai nilai sejarah.
“Contohnya pokok kapas di Padang Merdeka yang rasanya sudah wujud ketika Hari Malaysia pada 1963.
“Pokok itu adalah warisan. Kalau tiada undang-undang atau pewartaan tertentu, pokok itu boleh ditebang sesuka hati oleh pelbagai pihak,” tambahnya.
Mengenai garis masa pewartaan, beliau berkata, belum ada tempoh khusus ditetapkan kerana banyak bangunan dan elemen warisan di seluruh Sarawak perlu dinilai mengikut keutamaan.
“Kita ada banyak yang akan diwartakan di seluruh Sarawak. Jadi, kita akan lihat satu persatu mana yang akan diberi keutamaan,” katanya.
Mengulas lanjut, usaha pemeliharaan itu turut menjadi langkah awal ke arah hasrat mendapatkan pengiktirafan UNESCO bagi kawasan warisan di Kuching.
“Sarawak turut melihat Pulau Pinang dan Melaka yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sebagai contoh dalam usaha pemeliharaan warisan,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah



