Penyedia eKYC kemas kini sistem MyKad generasi baharu – JPN

Facebook
WhatsApp
MYKAD generasi baharu. Foto Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

PUTRAJAYA: Penyedia perkhidmatan electronic Know Your Customer (eKYC) sedang mengemas kini sistem masing-masing bagi membolehkan reka bentuk dan ciri MyKad generasi baharu dikenal pasti dalam proses pengesahan identiti.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu diambil susulan kesukaran yang dihadapi sebahagian pemilik MyKad generasi baharu ketika melakukan pengesahan identiti menerusi sistem eKYC.

Beberapa sesi libat urus telah dan sedang dilaksanakan bersama agensi berkaitan serta penyedia perkhidmatan eKYC bagi menangani isu berkenaan dan memastikan proses pengesahan identiti orang ramai berjalan lancar.

“JPN telah menyediakan maklumat yang diperlukan dan sedang memantau pelaksanaan kemas kini tersebut bagi mempercepat proses penyesuaian sistem,” menurut kenyataan itu.

Sementara menunggu proses kemas kini selesai, JPN menyarankan pengguna yang menghadapi kesukaran melakukan pengesahan eKYC menggunakan MyKad generasi baharu supaya merujuk kepada institusi atau penyedia perkhidmatan masing-masing mengenai kaedah pengesahan alternatif yang tersedia.

Menurut JPN, MyKad generasi baharu yang mula dikeluarkan secara rasmi pada 17 Sept lepas merupakan penambahbaikan dari aspek struktur, reka bentuk, teknologi dan ciri keselamatan bagi meningkatkan perlindungan identiti rakyat.

“Penyesuaian sistem eKYC oleh penyedia perkhidmatan merupakan sebahagian daripada proses peralihan bagi menyokong penggunaan kad baharu berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Jabatan itu akan terus memantau perkembangan proses kemas kini dan bekerjasama dengan agensi serta penyedia perkhidmatan berkaitan sehingga penyesuaian sistem diselesaikan.

“Keutamaan JPN adalah untuk memastikan peralihan kepada MyKad generasi baharu dilaksanakan dengan teratur tanpa menjejaskan kemudahan orang ramai dalam mendapatkan perkhidmatan yang memerlukan pengesahan identiti,” menurut kenyataan itu.

Agensi dan penyedia perkhidmatan eKYC yang memerlukan maklumat atau penjelasan lanjut mengenai ciri-ciri MyKad generasi baharu boleh menghubungi JPN melalui e-mel commandset@jpn.gov.my. – Bernama