KOTA BHARU: Lebih 230,000 ahli Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di seluruh negara bakal menikmati potongan harga tiket penerbangan Batik Air Malaysia menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini.
Presiden NUTP Aminuddin Awang berkata inisiatif itu diharap dapat menarik lebih ramai guru menyertai kesatuan itu selain membuka peluang kepada NUTP meneroka lebih banyak kerjasama dengan sektor swasta pada masa akan datang.
“Dengan bilangan ahli NUTP sebanyak 230,000, ia sebenarnya membuka ruang untuk memberi manfaat kepada ahli dan pada masa sama kepada rakan strategik kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penandatanganan MoU antara NUTP dan Batik Air Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, Aminuddin dan Pengurus Jualan Korporat Batik Air Malaysia Pravinderjeet Singh menandatangani dokumen berkenaan yang menawarkan kadar istimewa penerbangan kepada ahli NUTP.
Sementara itu, Pegawai Khas Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Seif Shaquille Shahril berkata syarikat itu komited memperkukuh hubungan jangka panjang dengan NUTP menerusi kemudahan perjalanan yang merangkumi kadar korporat, diskaun tertentu termasuk kepada pelajar serta tiket percuma mengikut tawaran yang dipersetujui.
“Inisiatif berkenaan dilihat penting dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar termasuk kesan krisis minyak yang menyebabkan kos perjalanan turut menjadi perhatian,” katanya.
Beliau berkata Batik Air kini mempunyai rangkaian penerbangan ke beberapa destinasi antarabangsa termasuk Jeddah, China dan India, selain menawarkan pilihan kabin kelas perniagaan dan ekonomi. – Bernama




