UP-DLP Sarawak diperluas ke lebih banyak sekolah tahun depan

Facebook
WhatsApp
MOHAMED Faizal hadir mewakili Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berucap pada program Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa Pemerkasaan UP-DLP Sarawak: Memacu Kecemerlangan STEM Dalam Bahasa Inggeris di Wisma Sabati, di Petra Jaya hari ini.

PETRA JAYA: Program penerangan dan penjelasan isu semasa pemerkasaan Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLP Sarawak) berpotensi diperluas ke lebih banyak sekolah di seluruh negeri tahun depan bagi memberi pendedahan lebih menyeluruh kepada murid dan ibu bapa.

Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, usaha memperluas pelaksanaan program itu akan dipertimbangkan berdasarkan ruang pelaksanaan serta kemampuan kewangan yang tersedia

“Kita cuba lagi tahun depan untuk perbanyakkan program di seluruh Sarawak kalau boleh, tertakluk kepada ruang dan juga kekangan kewangan yang kita hadapi kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali, yang mewakilinya pada Program Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa Pemerkasaan UP-DLP Sarawak: Memacu Kecemerlangan STEM Dalam Bahasa Inggeris di Wisma Sabati, di sini, hari ini.

Menurut Awang Putrayusrie, program berkenaan memasuki tahun kedua pelaksanaannya dan menjadi platform untuk murid serta ibu bapa mendapatkan penerangan secara langsung berkaitan UP-DLP daripada guru, pakar serta penggubal soalan.

Katanya, pendedahan berkenaan penting bagi membantu murid memahami teknik dan kaedah pembelajaran yang bersesuaian, khususnya dalam penguasaan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam bahasa Inggeris.

“Untuk UP-DLP, tahun ini adalah tahun yang kedua. Jadi kita ambil peluang ini untuk memberikan anak-anak kita ceramah daripada pakar, cikgu, penggubal soalan berkaitan teknik dan kaedahnya,” katanya.

Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching, pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang.

Dalam pada itu, Awang Putrayusrie berkata, UKAS turut merancang memperluas program berbentuk pendidikan dan pendedahan kepada sekolah menengah dengan memberi maklumat berkaitan peluang pendidikan yang disediakan kerajaan Sarawak.

Katanya, antara perkara yang boleh diketengahkan termasuk peluang melanjutkan pengajian di universiti milik kerajaan Sarawak seperti Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-CATS, Universiti Swinburne dan Universiti Curtin, selain laluan pendidikan dalam bidang STEM serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kita mahu anak-anak kita mengetahui peluang-peluang yang ada, bukan sahaja di peringkat sekolah rendah tetapi juga apabila mereka melangkah ke sekolah menengah dan seterusnya ke institusi pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berkata, UKAS juga merancang mendapatkan penglibatan sekolah berasrama penuh (SBP) dalam program akan datang bagi memberi pendedahan kepada murid Tahun Enam dan ibu bapa mengenai proses serta persediaan untuk memohon kemasukan ke sekolah berkenaan.

“Kita akan cuba dekati sekali lagi sekolah-sekolah SBP untuk memberi ruang dan peluang kepada anak-anak kita mengenali sekolah berkenaan, dan ibu bapa mendapatkan panduan berkaitan ujian serta proses penempatan,” katanya.

Program berkenaan sebelum ini ditangguhkan sebanyak dua kali susulan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan sebelum dilaksanakan semula hari ini.

Mohamed Faizal hadir mewakili Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, manakala program turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (Pendidikan dan Inovasi), Datuk Dr Annuar Rapa’ee.

Oleh Shikin Mahmud