SELANGAU:Unit Belia Majlis Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (MJKKK) Sekuau menerusi program pengembaraan Off Road Program Sentuhan Kasih telah menyantuni penduduk Rumah Seliau yang terletak di Ulu Oya.
Program tersebut disertai oleh Exco Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), Kaunselor Henry Kanyan Vincent Rawing.
Kaunselor Kanyan yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang turut menyerahkan empat unit lampu kuasa solar LED kepada penduduk Rumah Seliau.
Kesemua lampu solar tersebut disumbangkan bersama ADUN Tamin, Christopher Gira dan Unit Belia MJKKK Sekuau.
Semasa program tersebut, semua ahli Unit Belia MJKKK menjalankan kerja gotong-royong bersama penduduk rumah panjang memasang lampu solar tersebut.
Selain menjalankan kerja amal, rombongan tersebut turut melakukan aktiviti BBQ di ‘Kerangan ‘ bagi memeriahkan lagi program tersebut.
Bercakap kepada pemberita, Kaunselor Kanyan memberitahu, Kaunselor Kanyan yang mewakili Unit Belia MJKKK Sekuau berterima kasih kepada Gira kerana sentiasa prihatin terhadap keperluan dan permasalahan rakyat sehingga ke kawasan pendalaman.
“Walaupun Rumah Seliau ini terletak jauh di pendalaman, namun rumah panjang tersebut turut menerima pembangunan infrastruktur termasuk kemudahan jalan raya dan perkhidmatan doktor udara.
“Begitu juga pihak pejabat kesihatan dan pejabat daerah selalu turun padang bertemu penduduk rumah panjang tersebut,” ujarnya.
Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) itu memberitahu, hampir kesemua kawasan di DUN Tamin kini menikmati kemudahan jalan raya dan projek bantuan bahan binaan rumah menerusi Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).
“Sepertimana yang kita sedia maklum, projek yang telah diumumkan oleh Kerajaan GPS melalui wakil rakyat mereka amat jelas kelihatan.
“Ini adalah bukti GPS tidak meminggirkan kawasan luar bandar daripada pembangunan,” ujarnya.
Kaunselor Kanyan menegaskan, bagi kawasan DUN Tamin, Unit Belia MJKKK Sekuau cuba sedaya upaya membantu wakil rakyat mereka (Gira) dengan cara tersendiri untuk memastikan kemenangan GPS di kawasan terbabit.
Oleh Akun Giman