Jabatan Penjara tunggu surat rasmi keputusan Lembaga Pengampunan – Saifuddin

Facebook
WhatsApp
MENTERI Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto Bernama

KULIM: Jabatan Penjara masih menunggu surat rasmi pemakluman berhubung keputusan Lembaga Pengampunan mengenai pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jabatan Penjara perlu meneliti surat pemakluman rasmi itu bagi membolehkan keputusan berkenaan dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kita perlu tengok dulu surat itu. Maksudnya, sekarang ini tempoh Najib menjalani hukuman penjara. Tahanan rumah bermaksud beliau tidak berada dalam penjara sebaliknya akan berada di satu premis lain dan tentu ada prosesnya.

“Jadi, untuk lebih selamat, lebih baik komen saya kepada media adalah sehingga surat pemakluman rasmi (diterima),” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga empat kanak-kanak yang lemas akibat terjatuh ke dalam longkang dalam kejadian pada Isnin lepas, di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, pihaknya perlu meneliti kandungan surat berkenaan bagi mengetahui butiran keputusan Lembaga Pengampunan, termasuk sama ada lembaga menetapkan premis bagi tahanan rumah atau menyerahkan perkara itu kepada Jabatan Penjara untuk dilaksanakan.

Beliau berkata, surat berkenaan juga penting bagi menentukan sama ada terdapat keputusan atau arahan lain yang telah dipertimbangkan dan diputuskan oleh Lembaga Pengampunan.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat-syarat yang ditetapkan.

Saifuddin Nasution berkata, berdasarkan keputusan Lembaga Pengampunan terdahulu, pihaknya menerima pemakluman rasmi berhubung pengurangan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun serta pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Beliau berkata, berdasarkan keputusan terdahulu itu, Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028 sekiranya denda RM50 juta dibayar, manakala jika denda berkenaan tidak dibayar, tarikh pembebasan ialah 23 Ogos 2029.

Katanya, Malaysia pada ketika ini belum mempunyai undang-undang khusus mengenai tahanan rumah, namun kementeriannya telah memperoleh persetujuan secara dasar daripada Kabinet untuk memulakan proses menggubal Rang Undang-Undang Tahanan Rumah, khususnya bagi menangani isu kesesakan penjara membabitkan tahanan reman.

“Tahanan rumah adalah satu mekanisme yang menjadi amalan oleh Jabatan Penjara seluruh dunia bertujuan mengurangkan kesesakan penjara terutama oleh tahanan reman,” katanya. Beliau berkata, pada masa ini terdapat 41 penjara di seluruh negara dengan jumlah penghuni kira-kira 93,000 banduan berbanding kapasiti keseluruhan sekitar 75,000 banduan. – Bernama