PETRA JAYA: Syarikat dan badan korporat digesa memperluas program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ke kawasan luar bandar dan pedalaman bagi memastikan lebih banyak keluarga, khususnya pasangan muda, turut menerima manfaat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif CSR seperti itu penting dalam melengkapi sistem sokongan yang disediakan kerajaan kepada keluarga yang mempunyai ahli baharu.
“Saya merasa sedikit cemburu melihat rakyat kita yang tinggal di bandar apabila ada program seperti ini yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat.
“Jadi, bilakah pula rakyat kita di luar bandar dapat menikmati CSR seperti ini? Saya tahu ia melibatkan jarak, pengangkutan dan kos tambahan, tetapi kita tidak pernah berputus asa.
“Mungkin suatu hari nanti pihak penaja akan memikirkan untuk mengadakan CSR seperti ini yang turut memberi manfaat kepada rakyat kita, khususnya pasangan muda yang berada di luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Prihatin Komuniti My Little Moments 2026 di My Little Moments, Kubah Ria, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan atas jemputan ke program berkenaan yang menurutnya memberi peluang untuk mengetahui kewujudan kemudahan yang menyediakan pelbagai keperluan bagi ibu mengandung sehingga kelahiran dan perkembangan anak.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih atas jemputan kerana kalau saya tidak dijemput, saya mungkin tidak tahu bahawa ada kemudahan seperti ini.
“Ia menyediakan pelbagai keperluan daripada ibu mengandung sehingga melahirkan anak dan anak itu membesar.
“Ini satu konsep yang sangat baik kerana ia memudahkan pasangan mendapatkan keperluan untuk ibu yang mengandung dan juga anak yang dilahirkan,” ujarnya.
Menurut Fatimah, kerjasama antara kerajaan dan pihak korporat melalui pelaksanaan CSR dapat memperkukuh sistem sokongan kepada keluarga, terutama mereka yang memerlukan bantuan dalam menyediakan keperluan untuk anak-anak.
Beliau berkata, usaha secara bersama membolehkan sumber dan tenaga digabungkan untuk menghasilkan manfaat yang lebih besar kepada golongan yang menerima bantuan.
Justeru, Fatimah berharap lebih banyak pihak korporat tampil melaksanakan program seumpama itu dan mempertimbangkan keperluan masyarakat di luar bandar serta pedalaman dalam merancang inisiatif CSR mereka.
Katanya, usaha berkenaan bukan sahaja membantu meringankan beban keluarga, malah dapat memastikan manfaat sokongan kepada ibu dan anak disampaikan kepada lebih ramai penerima.
Program Prihatin Komuniti My Little Moments 2026 menyaksikan seramai 20 keluarga menerima Bakul Prihatin Komuniti yang mengandungi pelbagai barangan keperluan asas bernilai kira-kira RM300 bagi setiap keluarga.
Sumbangan keseluruhan bernilai kira-kira RM30,000 itu disokong oleh tiga penaja, iaitu MILK, Farm Fresh dan Pigeon.
Turut hadir ialah Pengarah My Little Moments dan Pengarah Farley Group Companies, Eijing Lau; Pengarah Jualan Kumpulan Farm Fresh Berhad, Ding Chai Thong; Ketua Pegawai Komersial, John Teoh; serta Pengarah Urusan Pigeon Malaysia, Maya Yoshimura.
Oleh Adele Rissa




