Wanita Dayak digesa perkasa perniagaan, tembusi pasaran antarabangsa

Facebook
WhatsApp

KUCHING: Usahawan wanita Dayak perlu memanfaatkan kemahiran, kreativiti dan warisan budaya yang dimiliki untuk membangunkan perniagaan sehingga mampu menembusi pasaran kebangsaan dan antarabangsa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata produk tradisi yang mempunyai identiti tempatan perlu digabungkan dengan pengurusan perniagaan yang baik, kualiti tinggi serta pendekatan pemasaran moden.

Katanya, pendekatan itu penting supaya hasil kreativiti dan warisan wanita Dayak bukan sekadar dihasilkan, sebaliknya mempunyai nilai ekonomi serta mampu menjana pendapatan yang lebih besar.

“Insya-Allah, apabila produk tradisi yang kaya dengan identiti tempatan digabungkan dengan pengurusan korporat yang baik serta kualiti yang tinggi, saya yakin produk wanita Dayak mampu menembusi pasaran kebangsaan dan antarabangsa.

“Saya mahu melihat lebih ramai daripada kalangan anda pergi ke luar negara untuk memasarkan produk masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian PERANTIS-PENDAYA 2.0 di Menara Dayak Chambers, di sini, hari ini.

Nancy berkata PERANTIS-PENDAYA 2.0 merupakan pendekatan yang disesuaikan dengan keperluan setempat dengan mengambil kira persekitaran, budaya serta potensi usahawan wanita Dayak di Sarawak.

Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja memberi motivasi, malah menyediakan latihan praktikal dan bimbingan mentor bagi membantu peserta mengembangkan perniagaan masing-masing.

Beliau berkata peserta turut dibimbing menyediakan Pelan Tindakan 90 Hari sebagai panduan untuk menetapkan sasaran serta menterjemahkan ilmu yang diperoleh kepada tindakan dan pencapaian yang jelas.

“Jadikan Pelan Tindakan 90 Hari ini sebagai janji setia kepada diri sendiri, tetapkan sasaran yang jelas, teruskan melangkah dan jangan berhenti.

PERASMIAN…Nancy Shukri merasmikan Program PERANTIS-PENDAYA 2.0 di Menara Dayak Chambers, Kuching, hari ini.

“Gabungkan identiti dan warisan budaya Dayak yang unik dengan teknologi dan pemasaran moden,” katanya.

Nancy berkata perkembangan produk yang dihasilkan usahawan wanita Dayak menunjukkan peningkatan dari segi inovasi, bahan yang digunakan serta usaha untuk menjadikan produk berkenaan lebih bernilai dan menarik kepada pasaran.

Katanya, pendekatan untuk mengkomersialkan produk tempatan perlu diperkukuh supaya wanita bukan sahaja menghasilkan produk, tetapi turut mempunyai pemikiran ke arah menjadikannya sumber ekonomi.

“Bagi wanita Dayak, keusahawanan ialah ruang untuk menjana pendapatan selain wadah untuk mengangkat kemahiran, kreativiti dan warisan agar terus hidup, berkembang dan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Nancy berkata Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) yang dilaksanakan di bawah Jabatan Pembangunan Wanita telah membimbing 1,247 peserta menerusi 25 tokoh wanita sejak 2024, merangkumi 10 bidang termasuk kepimpinan, politik, ekonomi, sosial, teknologi, perundangan, keselamatan, kesejahteraan, pendidikan dan kesihatan.

Katanya, pelaksanaan program itu diperluaskan pada 2025 dengan peruntukan RM5 juta, melibatkan 100 tokoh wanita dan lebih 4,000 peserta, manakala tahun ini program berkenaan menerima peruntukan RM4 juta bagi meneruskan usaha memperkasa lebih ramai wanita melalui bimbingan dan pembangunan kepimpinan.

Nancy turut berharap peserta PERANTIS-PENDAYA 2.0 dapat berkembang sebagai usahawan berjaya sebelum tampil sebagai pemimpin yang mampu membawa perubahan kepada keluarga, komuniti dan masyarakat.

“Daripada ilmu lahir keyakinan, daripada keyakinan tumbuh keberanian, dan daripada keberanian lahir pemimpin wanita yang berwibawa,” katanya.

Program PERANTIS-PENDAYA 2.0 yang dianjurkan Pertubuhan Rangkaian Pemerkasaan dan Kelestarian Wanita (WESNA) Kuching dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) itu dirasmikan Nancy hari ini.

Oleh Shahrul Qaizat