KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerusi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan menjalin kerjasama dengan Persatuan Kebajikan Harapan (Hope Place) Kuching bagi melaksanakan Projek ’Care’ sempena perayaan Krismas, baru-baru ini.
Hope Place menerusi satu hantaran Facebook memberitahu projek itu melibatkan empat orang pelajar tahun akhir dari fakulti tersebut bagi memmbantu tiga ibu tunggal dan anak-anak mereka.
Di bawah ‘Project Care’, dengan kerjasama Hope Place Kuching, empat pelajar tahun akhir cemerlang memutuskan untuk mengumpul dana, bagi memberi sokongan kepada ibu tunggal.
Projek ’Care’ dengan tema ‘Sumbangan Anda, Kekuatan Mereka’ merupakan misi untuk menaikkan semangat berkongsi dan kemasyarakatan bagi meringankan beban ibu tunggal.
”Bermula pada November tahun ini, pelajar mengumpul dana di kampus mereka dan hanya beberapa hari sebelum Krismas mereka pergi ke tiga rumah ibu tunggal yang kurang berkemampuan.
”Sebagai sebahagian daripada aktiviti bagi meningkatkan keceriaan perayaan, pelajar UNIMAS menghiasi rumah penerima bantuan ini dengan hiasan Krismas dan menyampaikan hadiah mereka kepada setiap keluarga,” katanya.
Hadiah tersebut termasuk bekalan makanan, barangan rumah, selendang wanita dan makanan ringan semasa musim perayaan.
Selain itu, wakil anggota dari Hope Place juga memberikan kanak-kanak hadiah Krismas.
Menurut pelajar yang terlibat, objektif Projek ’Care’ adalah untuk memberi inspirasi kepada masyarakat di sekeliling mereka, menunjukkan sokongan emosi dan sosial serta membina kemahiran insaniah dalam kalangan mereka yang memerlukan.