
BINTANGOR: Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor berjaya menangkap seekor ular sawa yang ditemui di dalam sebuah bilik rumah penduduk di Kampung 1 Malaysia, awal pagi tadi.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.32 pagi.
“Respons dengan panggilan kecemasan, tiga anggota bomba diketuai oleh Bakar Ujang telah dikerahkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati seekor ular sawa berada di dalam bilik,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Katanya, ular sawa tersebut berjaya ditangkap menggunakan penjerut ular dalam tempoh sembilan minit.
“Kejadian seperti ini sering berlaku di kawasan perumahan yang berhampiran dengan hutan atau belukar.
“Orang ramai dinasihatkan agar segera menghubungi pihak bomba sekiranya berdepan dengan situasi membahayakan seperti kehadiran haiwan berbisa di kawasan kediaman.
“Kerjasama orang ramai amat penting dalam memastikan keselamatan mereka,” katanya.
Oleh Earl Anek