BINTULU, 31 Oktober: Lebih 2,600 peserta menyertai program Bintulu Cops Run 2.0 yang memasuki penganjuran kali kedua tahun ini, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan masyarakat terhadap program berkenaan.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, program itu bukan sahaja bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat menerusi aktiviti sukan, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan masyarakat.
Menurutnya, penganjuran program itu akan diteruskan sebagai acara tahunan bagi memberi ruang kepada pihak polis dan masyarakat berinteraksi serta mengukuhkan kerjasama dalam suasana santai.
“Ini merupakan kolaborasi terbaik antara pihak polis dengan masyarakat apabila kedua-duanya dapat berkumpul dan berinteraksi menerusi program seperti ini,” katanya ketika ditemui pada program Bintulu Cops Run 2.0 di Parkir Farley, Medan Jaya di sini hari ini.
Ujar Saifullizan, penganjuran program itu buat masa ini tertumpu di Bintulu, namun pihaknya akan berusaha memperluaskannya ke peringkat lebih besar pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau berkata, PDRM sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk keadaan cuaca tidak menentu dan kejadian banjir di beberapa kawasan.
Menurutnya, kesiapsiagaan itu turut merangkumi persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bagi memastikan pasukan polis bersedia menghadapi pelbagai situasi.
Bintulu Cops Run 2.0 menawarkan tiga kategori larian, iaitu 21 kilometer (km), 11km dan 5km dengan pelepasan peserta masing-masing pada 4.00 pagi, 5.00 pagi dan 6.00 pagi.





