PEMBUKAAN Jambatan Batang Lupar 2 sepanjang 870 meter kepada orang awam hari ini bukan sekadar menandakan siapnya sebuah projek infrastruktur mega, malah menjadi titik perubahan penting dalam landskap pembangunan serta kemajuan sosioekonomi penduduk di Bahagian Sri Aman dan Betong.
Jambatan yang merentasi Sungai Batang Lupar itu membawa makna besar kepada masyarakat setempat kerana sekian lama mengharapkan kemudahan perhubungan yang lebih cekap, selamat dan pantas bagi menghubungkan kawasan penempatan, pusat ekonomi serta destinasi pelancongan.
Lebih daripada sekadar laluan pengangkutan, pembukaan jambatan berkenaan membuka lembaran baharu kepada potensi perdagangan, pertanian, pelancongan dan pembangunan ekonomi luar bandar yang selama ini berdepan kekangan jarak serta akses perhubungan.
Kehadiran jambatan itu sekali gus memperkukuh jaringan perhubungan antara Sri Aman dan Betong, selain menyediakan laluan alternatif yang mampu melancarkan pergerakan penduduk serta pengangkutan barangan.
Pembukaan jambatan berkenaan turut disempurnakan menerusi Majlis Prapelancaran oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.
Bukti transformasi infrastruktur Sarawak
Pembinaan Jambatan Batang Lupar 2 merupakan sebahagian daripada agenda besar transformasi infrastruktur yang digerakkan Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dengan peruntukan keseluruhan kira-kira RM7 bilion bagi pembinaan 22 jambatan di seluruh negeri, inisiatif itu memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri dalam merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Sebanyak 14 jambatan telah siap setakat ini, sekali gus membuktikan bahawa agenda pembangunan infrastruktur Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan sekadar perancangan atau retorik, sebaliknya diterjemahkan menerusi projek nyata yang mula dinikmati rakyat.
Usaha mendapatkan dana dan melaksanakan projek berskala besar itu juga mencerminkan pendekatan kepimpinan negeri yang meletakkan kemudahan asas sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat.
Bagi penduduk di kawasan Sri Aman dan Betong, Jambatan Batang Lupar 2 menjadi antara bukti paling jelas bagaimana pembangunan infrastruktur mampu mengubah kehidupan masyarakat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
Jalan Lidong lengkapkan rangkaian perhubungan
Manfaat jambatan itu turut diperkukuh dengan pembukaan Jalan Lidong sepanjang kira-kira 27.84 kilometer yang menghubungkan jambatan berkenaan dengan persimpangan Betong di Lebuhraya Pan Borneo.
Projek berkenaan merangkumi pembinaan jalan baharu, penaiktarafan jalan sedia ada daripada piawaian JKR R3 kepada JKR R5 serta pembinaan dua jambatan.
Penyediaan rangkaian jalan raya yang lebih baik itu penting bagi memastikan manfaat Jambatan Batang Lupar 2 dapat dinikmati secara menyeluruh, bukan sahaja oleh penduduk sekitar malah pengguna jalan raya dari kawasan lain.
Gabungan jambatan dan Jalan Lidong akan meningkatkan kelancaran pergerakan kenderaan, memudahkan urusan harian penduduk serta mempercepatkan penghantaran hasil pertanian ke pusat pengumpulan dan pemprosesan.
Keadaan itu secara tidak langsung berpotensi mengurangkan kos logistik, menjimatkan masa perjalanan dan meningkatkan daya saing produk tempatan.
145 meter: Keistimewaan kejuruteraan Sarawak
Selain kepentingannya dari sudut perhubungan, Jambatan Batang Lupar 2 turut mencatat keistimewaan tersendiri menerusi pembinaan pilon atau menara jambatan kabel setinggi 145 meter yang disifatkan sebagai tertinggi di Malaysia.
Keunikan struktur kejuruteraan itu bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Sarawak, malah berpotensi meletakkan jambatan berkenaan sebagai mercu tanda baharu di kawasan Batang Lupar.
Malah, Rekod Dunia Guinness dilaporkan sedang meneliti kemungkinan memberikan pengiktirafan terhadap pencapaian kejuruteraan berkenaan.
Keistimewaan tersebut berpotensi menjadikan jambatan itu sebagai tarikan tambahan kepada pengunjung, sekali gus memperkukuh identiti kawasan Sri Aman dan Betong sebagai destinasi yang mempunyai nilai pembangunan serta tarikan tersendiri.
Membuka pintu pelancongan alam semula jadi
Satu lagi sektor yang dijangka menerima limpahan manfaat besar ialah industri pelancongan.
Bahagian Sri Aman mempunyai pelbagai khazanah alam semula jadi, warisan sejarah dan tarikan tempatan yang berpotensi diketengahkan kepada pelancong domestik serta antarabangsa.
Antara destinasi yang berpotensi menerima manfaat daripada peningkatan akses perhubungan ialah Empangan Batang Ai dan replika Rentap di Bukit Sadok.
Kedua-dua lokasi itu mempunyai nilai tersendiri, sama ada dari sudut keindahan alam semula jadi mahupun warisan sejarah perjuangan masyarakat tempatan.
Dengan jaringan jalan raya yang semakin baik, perjalanan ke destinasi berkenaan berpotensi menjadi lebih mudah dan menarik, sekali gus memberi peluang kepada pengusaha inap desa, pengendali pelancongan, peniaga makanan serta usahawan kecil menjana pendapatan.
Peningkatan jumlah pengunjung juga berpotensi mewujudkan limpahan ekonomi kepada komuniti setempat melalui penyediaan penginapan, perkhidmatan pengangkutan, makanan dan jualan produk tempatan.
Justeru, pembukaan jambatan ini wajar dilihat sebagai peluang untuk memperluas promosi pelancongan Sri Aman dan Betong secara lebih agresif.
STOLport Bebuling: Pemangkin ekonomi dan rantaian bekalan
Selain pelancongan, kewujudan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling serta Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) memberikan kelebihan strategik kepada kawasan berkenaan.
Kemudahan tersebut berpotensi membentuk satu rangkaian pengangkutan dan pengedaran produk yang lebih cekap, khususnya bagi hasil pertanian serta produk makanan keluaran pengusaha tempatan.
Akses ke STOLport Bebuling membolehkan tempoh penghantaran produk dipendekkan dengan ketara.
Jika sebelum ini produk dari kawasan berkenaan perlu dihantar terus ke Kuching dengan perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam, laluan ke STOLport Bebuling pula boleh dicapai dalam tempoh sekitar 30 minit.
Perbezaan tempoh perjalanan itu membawa kelebihan besar kepada pengusaha, terutama mereka yang mengendalikan produk mudah rosak seperti hasil pertanian, makanan segar dan produk berasaskan makanan.
Dengan kemudahan pengangkutan yang lebih dekat, pengusaha berpeluang memperluas pasaran, meningkatkan kualiti pengedaran serta mengurangkan risiko kerosakan produk sepanjang proses penghantaran.
Pada masa sama, peranan CPPC sebagai pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan akan melengkapkan rantaian bekalan, sekali gus membantu produk tempatan dipasarkan secara lebih tersusun dan berdaya saing.
Daripada infrastruktur kepada peluang kesejahteraan rakyat
Hakikatnya, nilai sebenar Jambatan Batang Lupar 2 tidak hanya terletak pada panjang 870 meter atau ketinggian pilonnya yang mencapai 145 meter, tetapi pada peluang baharu yang bakal diwujudkan hasil kemudahan tersebut.
Infrastruktur yang baik menjadi asas kepada kemasukan pelaburan, perkembangan aktiviti perniagaan, peluasan pasaran pertanian serta pertumbuhan sektor pelancongan.
Lebih penting, kemudahan itu memberikan peluang kepada generasi muda untuk meneroka aktiviti ekonomi baharu tanpa perlu berdepan kekangan perhubungan seperti sebelumnya.
Pembukaan jambatan berkenaan juga memperlihatkan bagaimana pembangunan infrastruktur perlu bergerak seiring dengan penyediaan kemudahan sokongan seperti jalan raya, lapangan terbang, pusat pemprosesan dan jaringan pemasaran.
Kesemua elemen itu saling melengkapi bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberikan pulangan ekonomi yang lebih luas kepada masyarakat.
Akhirnya, Jambatan Batang Lupar 2 bukan sekadar menghubungkan dua kawasan yang dipisahkan sungai, tetapi turut menghubungkan rakyat kepada peluang, kemajuan dan masa depan yang lebih baik.
Ia menjadi simbol komitmen Sarawak untuk terus membangunkan infrastruktur secara menyeluruh, memastikan kawasan luar bandar tidak ketinggalan dan membuka lebih banyak ruang kepada rakyat menikmati hasil pembangunan negeri.
Batang Lupar yang dahulunya menjadi pemisah, kini menjadi penghubung kepada lembaran baharu kemajuan Sri Aman dan Betong.
Oleh Adi Safarman





