Penduduk Poyut-Lubok Nibong digesa bersedia hadapi PRN ke-13

Facebook
WhatsApp
PAMANCA Randie Bundan

MARUDI, 31 Oktober: Ketua Masyarakat Iban kawasan Poyut-Lubok Nibong, Pemanca Randie Bundan, menggesa penduduk di kawasan itu supaya bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau berharap masyarakat di kawasan Poyut-Lubok Nibong akan meneruskan sokongan kepada mana-mana calon yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, beliau mewakili masyarakat Iban di kawasan itu menaruh harapan agar penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala, dicalonkan semula pada PRN ke-13.

“Kawasan Poyut-Lubok Nibong yang terkenal sebagai kubu kuat GPS masih memberi sokongan kepada Datuk Gerawat Gala yang telah banyak berjasa, memberikan perkhidmatan terbaik serta membawa perubahan kepada kawasan Mulu,” katanya kepada Utusan Sarawak.

Sebagai penyokong tegar GPS, beliau mengajak masyarakat Poyut-Lubok Nibong supaya terus memberikan sokongan kepada calon GPS bagi memastikan pembangunan di kawasan Mulu dapat diteruskan.

Beliau turut mengingatkan masyarakat dan pengundi di kawasan Poyut-Lubok Nibong supaya menolak calon daripada parti lain selain GPS.

Dalam pada itu, Randie melahirkan kebimbangan terhadap pengundi belia yang pulang dari bandar kerana dikhuatiri terpengaruh dengan budaya politik di kawasan bandar.

Pada PRN ke-12, penyandang kerusi DUN Mulu, Datuk Gerawat Gala, memenangi pilihan raya dengan majoriti 2,875 undi selepas memperoleh 3,735 undi (66.7 peratus).

Beliau menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Son Ridu, yang memperoleh 856 undi, Roland Engan dari Pakatan Harapan (PH) dengan 810 undi dan Richard Ibu dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang mendapat 199 undi.

Oleh Jiku Juguong