KUCHING: “Kita rampas balik Bandar Kuching dan Stampin daripada DAP!, seperti mana Wilfred Yap N12 Kota Sentosa merampas balik kerusi DAP di sini ketika PRN-12.”
Itu kata-kata semangat Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Aeroville, di sini malam ini.
Pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Disember lalu, Yap yang bertanding mewakili GPS menerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berjaya mengakhiri cengkaman tiga penggal DAP.
Premier Sarawak itu berkata, berikutan kejayaan bergaya Yap itu, kini sasaran GPS-SUPP ialah untuk menambat hati pengundi di kerusi Parlimen Bandar Kuching dan Stampin.
“Kita sudah rampas Kota Sentosa, ini kali kita rampas balik Bandar Kuching dan Stampin.
“Ini kerana kita mahu membangunkan Bandar Kuching dan Stampin. Seperti di Stutong ini, selalu banjir disebabkan tanahnya rendah. Wakil rakyat Stampin (DAP) tengok saja. Tidak buat apa-apa,” katanya.
Kerusi Parlimen Bandar Kuching membabitkan saingan tiga penjuru antara calon GPS-SUPP, Eric Tay Tze Kok, calon DAP Kelvin Yii Lee Wuen (penyandang) dan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Voon Lee Shan.
Kerusi Parlimen Stampin turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon GPS-SUPP, Lo Khere Chiang, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kitang, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen (penyandang) dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Lue Cheng Hing.
Pada majlis itu, Abang Johari mengumumkan peruntukkan RM350 juta untuk membangunkan kawasan Stampin ini.
“Nanti Lo dan Wilfred akan bersama-sama untuk melihat apa perancangan yang boleh dibuat di kawasan mereka terutamanya Stampin.
“Saya cakap saya buat, itu janji saya kepada rakyat di sini. Seperti mana Wilfred Yap mengotakan janji akan merampas kembali Kota Sentosa dari DAP, dan dia (Wilfred) berjaya.
“Itu yang kita akan lihat sekali lagi di mana calon Bandar Kuching dan calon Stampin kita (GPS) merampas balik dari DAP pada 19 November ini,” katanya.
Oleh AZREEN KERIA