UKAS tingkatkan keupayaan pengendalian krisis dan pengurusan media serta agensi kerajaan

Facebook
WhatsApp
SEKITAR 150 peserta mengikuti bengkel yang terdiri daripada PRO jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan rakan strategik media.

KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus memperkukuh keupayaan jabatan dan agensi kerajaan negeri dalam pengendalian krisis serta pengurusan media menerusi latihan dan pendedahan berterusan kepada Pegawai Perhubungan Awam (PRO).

Pengarahnya, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, berkata keupayaan mengurus komunikasi ketika berdepan situasi krisis amat penting bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah tepat, sahih dan berkesan.

Menurutnya, latihan berterusan perlu diberikan kepada PRO bagi memastikan mereka sentiasa bersedia menghadapi pelbagai bentuk krisis yang mungkin berlaku di jabatan dan agensi masing-masing.

“Memang ada di kalangan kita yang sudah biasa dengan tugas dan peranan sebagai PRO, tetapi latihan berterusan perlu diadakan supaya kita sentiasa mengikuti keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bengkel Pengendalian Krisis dan Pengurusan Media Agensi Kerajaan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Awang Putrayusrie berkata bengkel berkenaan turut menjadi platform untuk PRO berkongsi pengalaman dalam pengurusan krisis dan mengenal pasti kaedah yang lebih berkesan bagi menangani isu mengikut keperluan jabatan dan agensi masing-masing.

Katanya, pengendalian krisis juga memerlukan kerjasama erat antara agensi dan tidak seharusnya dilaksanakan secara bersendirian atau dalam keadaan bekerja secara silo.

“Krisis yang berlaku mungkin berbeza antara satu jabatan dengan jabatan yang lain, tetapi kita boleh berkongsi pengalaman supaya dapat mencari penyelesaian terbaik bagi isu yang berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata UKAS turut berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat dengan memantau isu yang timbul di peringkat akar umbi dan menyalurkannya kepada agensi berkaitan untuk tindakan segera.

AWANG Putrayusrie berucap ketika Bengkel Pengendalian Krisis dan Pengurusan Media Agensi Kerajaan, yang signifikan dalam memperkukuh kesiapsiagaan komunikasi krisis serta keupayaan agensi kerajaan mengurus media secara berkesan.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi membolehkan sesuatu isu dikenal pasti dan ditangani lebih awal sebelum berkembang atau menjadi tular di media sosial.

“Bukan kita hendak menyibuk, tetapi kita perlu mendapatkan maklumat awal dan membantu agensi terbabit menyelesaikannya dengan segera,” katanya.

Beliau turut menggalakkan jabatan dan agensi menyalurkan bahan komunikasi seperti gambar, video dan teks ucapan kepada UKAS untuk disimpan sebagai arkib serta dimanfaatkan bagi tujuan hebahan dan rekod pada masa akan datang.

Pada masa sama, Awang Putrayusrie menggesa semua agensi membantu memperluaskan penyampaian maklumat mengenai dasar, polisi dan inisiatif kerajaan Sarawak kepada masyarakat, khususnya penduduk di kawasan luar bandar.

Katanya, kerjasama semua PRO penting bagi memastikan maklumat mengenai pelbagai inisiatif kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat yang mungkin belum mengetahui atau memerlukan manfaat berkenaan.

Bengkel yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini hingga esok, dianjurkan UKAS bagi memperkukuh kesiapsiagaan komunikasi krisis dan keupayaan agensi mengurus media ketika berdepan situasi bertekanan tinggi.

Ia turut memberi penekanan kepada penilaian protokol sedia ada, pembangunan rangka kerja tindak balas krisis, pengendalian media serta latihan jurucakap melalui simulasi senario krisis.

Bengkel berkenaan disertai lebih 150 peserta terdiri daripada PRO jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan rakan strategik media.

Program itu diharap dapat meningkatkan keupayaan peserta dalam pengendalian krisis dan pengurusan media, selain memperkukuh jaringan kerjasama komunikasi antara agensi bagi memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat dapat dilaksanakan secara pantas, tepat dan berkesan.

Oleh Afiq Sallehi