KUCHING, 18 November: Pasukan Thunder Bolt membuktikan keunggulan apabila muncul juara Pertandingan Sepak Takraw Piala Ibu Pejabat Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) 2026 selepas menewaskan Squadron Defender dalam aksi final yang berlangsung sengit di Dewan Pahlawan Briged Sarawak PGA, di sini, hari ini.
Kejayaan itu diraih menerusi persembahan mantap Thunder Bolt yang menggabungkan pemain berpengalaman dan bakat muda, sekali gus mempamerkan permainan kemas, disiplin tinggi serta keyakinan sepanjang kejohanan.
Kejohanan selama dua hari bermula semalam itu menyaksikan persaingan sengit membabitkan enam pasukan yang mewakili cawangan dan unit di bawah pentadbiran Briged Sarawak PGA.
Selain Thunder Bolt dan Squadron Defender, empat pasukan lain yang turut mengambil bahagian ialah Shooter, Kitai, Silent Killer dan The Transporter.
Squadron Defender terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas memberikan tentangan hebat kepada juara, manakala The Transporter dan Shooter berkongsi tempat ketiga.
Majlis penutupan kejohanan disempurnakan Timbalan Komander Briged Sarawak PGA, ACP Rosdi Inai, yang turut menyampaikan hadiah kepada pasukan dan pemain yang berjaya.
Turut hadir Ajutan Briged Sarawak PGA, DSP Mohamad Sahyed Abdul Amit serta pegawai-pegawai turus cawangan di bawah pentadbiran briged berkenaan.
Dalam pada itu, tiga pemain turut menerima pengiktirafan menerusi anugerah individu atas kecemerlangan masing-masing sepanjang pertandingan.
Anugerah Tekong Terbaik menjadi milik Awang Eizan Awg Bolhi daripada Thunder Bolt, manakala Koperal Aizat Kamil dan Koperal Zuraidi Noh daripada Squadron Defender masing-masing dinobatkan sebagai Apit Kiri (Feeder) Terbaik dan Apit Kanan (Killer) Terbaik.
Menurut Briged Sarawak PGA, penganjuran kejohanan itu bukan sekadar menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam sukan sepak takraw, malah turut memperkukuh semangat setiakawan, disiplin dan kerjasama berpasukan dalam kalangan warga pasukan beruniform berkenaan.
Kejohanan seumpama itu diharap dapat terus menyemarakkan budaya sukan serta memupuk hubungan lebih erat antara warga Briged Sarawak PGA menerusi aktiviti riadah yang sihat dan kompetitif.
Oleh Adi Safarman




