KUCHING, 19 November: Hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar isu politik, sebaliknya melibatkan keupayaan negeri ini menentukan hala tujunya sendiri serta memastikan rakyat mendapat manfaat daripada kuasa, sumber dan tanggungjawab yang diperuntukkan kepadanya.
Presiden Persatuan Seni, Kraftangan dan Cenderamata Sarawak, Kaunselor Gerald Goh berkata, MA63 boleh difahami dengan lebih mudah menerusi perumpamaan seseorang yang memiliki rumah tetapi tidak diberi kebebasan untuk membuat keputusan tertentu berkaitan pengurusan kediamannya sendiri.
Menerusi analogi dalam mesej terbaharunya menerusi ‘Let’s Chat Sarawak’, beliau menjelaskan bahawa penyertaan Sarawak dalam pembentukan Malaysia bukanlah tanpa terma, syarat dan perlindungan yang mengiktiraf kedudukan unik negeri ini.
Beliau berkata, MA63 merupakan antara perjanjian penting yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia pada 1963, selain memperuntukkan aturan khas dan perlindungan bagi Sarawak.
“Apakah maksud semua ini kepada rakyat biasa seperti kita? Apabila kita bercakap mengenai MA63, kita sebenarnya bercakap tentang hak untuk bersuara dan terlibat dalam membuat keputusan berkaitan rumah kita sendiri, iaitu Sarawak,” katanya.
Gerald menegaskan bahawa MA63 bertujuan melindungi hak Sarawak, memastikan kepentingan negeri terus dihormati serta menjamin kuasa dan sumber yang diperlukan untuk merancang hala tuju masa depannya.
Beliau mengakui bahawa MA63 tidak dapat menyelesaikan masalah harian seperti jalan berlubang secara langsung, namun pembahagian kuasa, peruntukan dan tanggungjawab antara kerajaan boleh memberi kesan besar terhadap pembangunan jalan raya, sekolah, penjagaan kesihatan serta peluang untuk generasi muda.
“Itulah sebabnya MA63 penting. Bukan kerana ia slogan politik yang hebat atau kerana ahli politik sering memperkatakannya, tetapi kerana hak Sarawak seharusnya membawa manfaat kepada rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa mempertahankan hak Sarawak tidak bermakna kurang mencintai Malaysia, sebaliknya bertujuan membina Sarawak yang lebih kuat dalam sebuah Malaysia yang lebih kuat.
Gerald berkata inilah yang sedang diusahakan oleh kerajaan GPS demi kepentingan terbaik rakyat Sarawak.
Beliau menggesa rakyat Sarawak supaya memahami kepentingan MA63 dan memikirkan bagaimana hak yang termaktub dalam perjanjian itu dapat membantu membentuk masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
“Jika Sarawak ialah rumah kita dan masa depannya milik anak-anak kita, bukankah kita sepatutnya memahami, melindungi dan menggunakan sepenuhnya hak yang membantu membentuk masa depan itu?” soalnya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai mengemukakan pertanyaan dan berkongsi pandangan mengenai MA63.
Oleh Connie Chieng



