Lelaki ditahan disyaki samun bersenjata di Senadin

Facebook
WhatsApp
DITAHAN... Polis menahan suspek dan merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes samun bersenjata.

MIRI, 19 November: Seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata terhadap seorang wanita di sebuah bilik sewa di Kuala Baram, Senadin, 12 November lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Pusat Miri bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, sekitar 9.08 malam, 17 November lalu.

Beliau berkata, suspek ditahan di tingkat satu sebuah bangunan kedai di Bandar Baru Permyjaya, Tudan, hasil siasatan dan usaha mengesan suspek.

Dalam kejadian kira-kira 8.17 pagi itu, mangsa didatangi seorang lelaki tidak dikenali di bilik sewanya di Sublot 268, Parent Block 5, Kuala Baram.

Suspek dipercayai cuba merogol mangsa selain mengugut untuk menikamnya menggunakan sebilah pisau sebelum melarikan beberapa barangan milik mangsa, termasuk kad pengenalan, telefon bimbit, wang tunai dan beg tangan.

Mohd Farhan berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tingkat bawah premis berkenaan mendapati suspek memasuki bangunan sebelum naik ke bilik sewa mangsa pada 8.17 pagi.

Suspek dilihat meninggalkan lokasi kira-kira 8.30 pagi selepas mangsa menjerit meminta pertolongan.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap suspek membawa kepada penemuan dan rampasan beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu, termasuk pakaian, sebilah pisau lipat dan sekeping kad pengenalan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Oleh Liong Chai Ling