MIPD sasar prestasi 100 peratus menjelang 2027, urus projek bernilai RM2.18 bilion

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Penghargaan Libat Urus Program MIPD 2026, malam tadi. Foto Douglas Uggah Embas Official

KUCHING, 19 November: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) menyasarkan pencapaian prestasi pelaksanaan 100 peratus pada 2027 menerusi pengurusan projek pembangunan dan pembiayaan alternatif bernilai kira-kira RM2.18 bilion.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sasaran berkenaan memerlukan komitmen penuh seluruh warga kementerian bagi memastikan setiap projek dilaksanakan secara cekap, mengikut jadual dan mencapai hasil yang ditetapkan.

Menurut beliau, prestasi kewangan semasa MIPD berada pada tahap 77.58 peratus berbanding 97.39 peratus yang dicapai sebelum ini, sekali gus menuntut usaha lebih agresif bagi meningkatkan prestasi dan melepasi pencapaian terdahulu.

“Dengan jumlah peruntukan yang semakin besar, tumpuan kita mesti jelas iaitu memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan mencapai prestasi 100 peratus,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Libat Urus Program MIPD 2026 di sini, malam tadi.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, rekod prestasi kementerian membuktikan keupayaannya mengurus projek secara berkesan apabila berjaya mengekalkan pencapaian melebihi 90 peratus walaupun peruntukan meningkat sebanyak 92 peratus daripada RM796 juta pada 2023 kepada RM1.53 bilion pada 2026.

“Ini membuktikan satu perkara, kita mampu melaksanakan tanggungjawab dan kita telah membuktikannya,” tegas beliau.

Bagi 2027, MIPD menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM980.79 juta selain RM1.2 bilion melalui kaedah pembiayaan alternatif, menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira RM2.18 bilion untuk pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur strategik di Sarawak.

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh warga kementerian terus memperkukuh budaya kerja berpasukan, profesionalisme dan integriti bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberikan manfaat nyata kepada rakyat.

Uggah turut mengingatkan penjawat awam agar menghayati Enam Nilai Bersama Perkhidmatan Awam Sarawak iaitu integriti, baik hati dan prihatin, profesionalisme, kesegeraan dan rasa tanggungjawab, semangat berpasukan serta berorientasikan hasil.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan yang berjaya meningkatkan hasil negeri sehingga membolehkan lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan.

“Keupayaan beliau meningkatkan hasil negeri telah menyediakan sumber kewangan untuk membiayai projek-projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berharap seluruh warga MIPD akan terus mengekalkan momentum kecemerlangan bagi memastikan setiap projek yang dirancang dapat direalisasikan dengan berkesan demi kemajuan Sarawak dan kesejahteraan rakyat.

Oleh Adi Safarman