UKAS, Bernama perkukuh kerjasama untuk liputan Sukan SEA 2027 

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol menyaksikan penyampaian cenderahati daripada Timbalan Pengarah UKAS Mohamed Faizal Shah Ali kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin semasa menerima kunjungan hormat delegasi Bernama di Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Bangunan Baitul Makmur 1, Medan Raya, hari ini. Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj. Foto BERNAMA

KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus memperkukuh kerjasama dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai persediaan untuk liputan Sukan SEA 2027 yang akan datang.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata Bernama sebagai institusi media berpengalaman di negara ini memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan keupayaan warga kerja UKAS terutamanya menerusi penganjuran program latihan, bengkel serta sesi perkongsian ilmu.

“Bernama mempunyai banyak pengalaman dalam pelbagai aspek dan kita menghargai kerjasama untuk mengadakan program khusus bagi mempersiapkan bukan sahaja warga kerja UKAS tetapi wartawan di sini.

“Walaupun kita telah terdedah dengan pengalaman mengurus media di peringkat Sukan Malaysia (Sukma) 2024, namun Sukan SEA adalah medan yang berlainan dan memerlukan persediaan lebih rapi,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat daripada pengurusan tertinggi Bernama, di ibu pejabat UKAS, hari ini.

Kunjungan hormat daripada Bernama itu diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin yang turut disertai Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Biro Bernama Sarawak Ammar Syafiq Hamzah dan Timbalan Pengarah UKAS Mohamed Faizal Shah Ali.

Dalam pada itu, Abdullah berkata persediaan turut merangkumi penyediaan keperluan kemudahan untuk wartawan tempatan dan antarabangsa yang akan membuat liputan temasya berkenaan.

“Kita bukan hanya melihat kepada aspek pelaporan, tetapi juga logistik seperti pusat media, capaian internet, pengangkutan, penginapan serta kemudahan lain bagi memastikan kelancaran tugas wartawan,” katanya.

Sementara itu, Nur-ul Afida berkata kunjungan tersebut walaupun singkat, namun membuka ruang untuk mempererat hubungan sedia ada antara kedua-dua agensi.

Beliau turut menyatakan kesediaan Bernama untuk bekerjasama dengan UKAS dan kerajaan negeri dalam penganjuran temasya sukan akan datang termasuk Sukan Malaysia serta acara lain di Sarawak.

“Kunjungan ini memberi peluang untuk kami menyuarakan hasrat memperkukuh hubungan antara Bernama dan UKAS. Kami percaya Bernama mempunyai kepakaran dalam bidang kewartawanan termasuk liputan acara besar seperti yang telah dilaksanakan semasa Sukma di Sarawak sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata pengalaman Bernama sebagai pengendali pusat media antarabangsa ketika acara serantau seperti ASEAN serta beberapa acara utama negara turut menjadi nilai tambah dalam kerjasama berkenaan.- Bernama

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman