SIBU, 27 November: Keputusan Dato Sri Wong Soon Koh meninggalkan Parti Demokratik Progresif (PDP) turut menyaksikan bekas pemimpin dan ahli Bumiputera Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang menyertai parti itu mengambil keputusan keluar berkuat kuasa serta-merta.
Jurucakap kumpulan berkenaan, Andrew Shilling berkata, keputusan itu dibuat sebagai tanda sokongan terhadap pendirian Wong yang meletakkan jawatan dan meninggalkan PDP pada 23 November lalu.
Menurutnya, keputusan itu turut didorong beberapa faktor, termasuk permohonan keahlian mereka yang masih belum diproses sejak hampir dua tahun lalu.
“Kelewatan berkenaan menyebabkan kami berasa terabai dan tidak dialu-alukan, sekali gus menimbulkan tanggapan bahawa PDP tidak berminat menerima kami sebagai ahli,” jelasnya.
Selain itu katanya, mereka turut menyuarakan ketidakselesaan terhadap perbezaan prinsip dan pendirian politik yang dianggap sukar diterima.
“Selama ini kami merupakan penyokong setia Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan percaya pendirian serta keputusan bersama gabungan politik perlu dihormati semua pihak.
“Namun kita berasa tidak selesa, malah malu, dengan tindakan Dato Sri Tiong King Sing yang didakwa berulang kali berkempen secara terbuka untuk calon PKR dan DAP semasa pilihan raya negeri di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.
“Keadaan itu lebih membingungkan apabila GPS berulang kali menegaskan pendiriannya untuk kekal berkecuali dalam pilihan raya negeri berkenaan,” ujarnya.
Menurut Andrew, tindakan sedemikian meletakkan ahli PDP yang juga penyokong setia GPS dalam kedudukan sukar dan serba salah.
“Kami tidak seharusnya dipaksa berhadapan dengan percanggahan pendirian politik sedemikian sehingga menjejaskan kesetiaan dan komitmen kami terhadap GPS,” katanya.
Beliau juga berpendapat politik perlu berlandaskan prinsip, pendirian dan keyakinan yang konsisten, bukannya mengamalkan pendirian berbeza mengikut keadaan atau mengutamakan kepentingan serta populariti politik peribadi sehingga mengabaikan persefahaman dan kesetiaan kepada gabungan sendiri.
Katanya, kepimpinan politik menuntut rasa tanggungjawab, semangat setiakawan dan kesediaan untuk bekerja sebagai satu pasukan.
“Selepas mempertimbangkan perkara itu dengan teliti, kita berpendapat adalah lebih baik untuk membawa haluan masing-masing daripada terus berada dalam persekitaran politik yang semakin sukar diselaraskan dengan prinsip dan pegangan kita.
“Keputusan ini bukan didorong dendam peribadi atau rasa tidak puas hati terhadap mana-mana individu, sebaliknya berasaskan prinsip, keyakinan politik dan keperluan untuk terus berpegang teguh kepada pendirian sendiri,” tegasnya.
Andrew menjelaskan mereka menghormati keputusan Dato Sri Wong Soon Koh serta memberikan sokongan penuh kepada pendirian beliau, termasuk menyokong penuh calon GPS di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan.
“Ada kalanya, membawa haluan masing-masing merupakan keputusan paling bermaruah apabila prinsip dan keyakinan politik tidak lagi dapat diselaraskan,” ujarnya lagi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 ini, GPS meletakkan muka baharu dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Kelvin Lau Kor Jie, sebagai calon di DUN Bawang Assan.
Oleh Akun Giman




