KUCHING: Ujian Pentaksiran Standard yang akan dijalankan oleh kerajaan Sarawak bertujuan untuk menilai pencapaian anak-anak Sarawak yang masih belajar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata inisiatif ini diambil untuk memastikan pelajar yang lemah dapat diberikan bantuan sewajarnya, bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran.
“Oleh itu, pendidikan kita di Sarawak akan ikut cara lain walaupun kita terpaksa membayar (untuk menjalankan ujian tersebut) disebabkan kita bekerjasama dengan Universiti Cambridge.
“Tetapi Sarawak sanggup membayar demi masa hadapan anak-anak Sarawak yang mahir dan pakar dalam ekonomi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup mesyuarat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Gedong di sini hari ini.
Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak tidak mempunyai masalah untuk mengikut dasar kebangsaan dalam bidang pendidikan.
Namun, beliau menyatakan bahawa peperiksaan perlu dijalankan untuk membolehkan tahap pendidikan anak-anak Sarawak dapat dinilai dengan lebih tepat.
Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, mengumumkan bahawa Ujian Pentaksiran Standard akan bermula pada 2025 untuk pelajar Tahun 6 dan pada 2028 untuk pelajar Tahun 3.
Penilaian standard ini hanya akan dilaksanakan di Sarawak dan melibatkan tiga subjek utama iaitu Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris – EDISI UKAS