
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong akan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkuat kuasa 30 Jun ini hasil persetujuan bersama kedua-dua pihak.
BAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah berkenaan demi kepentingan pemain itu untuk mengorak langkah ke fasa seterusnya dalam kerjaya badminton profesionalnya.
Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz merakamkan penghargaan kepada Tze Yong atas sumbangannya sepanjang bersama badan induk kebangsaan.
“Tze Yong merupakan anggota penting dalam pasukan kebangsaan dan telah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. Walaupun kecederaan telah menjejaskan perkembangannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ketabahannya sepanjang proses pemulihan amat membanggakan.
“Selepas perbincangan mendalam, kedua-dua pihak bersetuju ini adalah jalan terbaik pada peringkat karier beliau ketika ini,” katanya.
Sementara itu, Tze Yong menzahirkan penghargaan kepada BAM, barisan jurulatih, kakitangan sokongan serta rakan sepasukan yang telah memberikan sokongan kepadanya sepanjang kariernya bersama pasukan kebangsaan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BAM atas peluang, bimbingan dan sokongan yang saya terima selama ini. Mewakili Malaysia sentiasa menjadi satu penghormatan dan saya berterima kasih kepada semua pihak yang menjadi sebahagian daripada perjalanan saya.
“Buat masa ini, keutamaan saya adalah untuk pulih sepenuhnya dan mendapatkan semula tahap kecergasan. Saya akan mengambil sedikit masa untuk memberi tumpuan kepada proses pemulihan sebelum kembali ke gelanggang, dan saya menantikan fasa seterusnya dalam karier saya,” katanya.
Pemain berusia 26 tahun itu pernah mencapai kedudukan ke-14 dunia pada November 2023 dan mencipta beberapa kejayaan membanggakan bersama pasukan kebangsaan, termasuk memenangi pingat perak perseorangan lelaki serta emas berpasukan campuran pada Sukan Komanwel 2022.
Beliau turut memenangi pingat emas pada Kejohanan Berpasukan Asia 2022 serta pingat gangsa pada Piala Sudirman 2021 dan Piala Sudirman 2023.
Bagaimanapun, perkembangannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini terjejas akibat beberapa siri kecederaan, termasuk kecederaan belakang pada 2024 dan kecederaan ACL pada 2025, yang kedua-duanya memerlukan pembedahan serta tempoh pemulihan yang panjang. – Bernama