
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pertubuhan Hawi Al Khairat (HAK) Malaysia bertempat di Astana Negeri.
Delegasi seramai 12 orang itu diketuai oleh Yang di-Pertua HAK Malaysia, Dr. Habib Abdul Rahman Isa Al Haddad.
Kunjungan tersebut bertujuan memberi penghormatan kepada Tun Wan Junaidi selaku Ketua Agama Negeri serta mempererat hubungan silaturahim antara pemimpin tertinggi negeri dan tokoh-tokoh ulama.
Dalam pertemuan tersebut, delegasi turut memperkenalkan dua tokoh ulama dari Tarim, Yaman yang hadir ke Sarawak sempena Majlis Haul Imam Abdullah Alwi Al Hadad, iaitu Habib Abdullah Ahmed Al Haddad dan Habib Muhammad Muhdhor Al Habsyi.
Terdahulu, para delegasi telah menyertai Majlis Memperingati Jasa Ulama Peringkat Negeri Sarawak: Haul Imam Abdullah Alwi Al Hadad yang berlangsung di Masjid Darul Makmur, Serian, semalam.
Menjelang akhir sesi, rombongan turut mempersembahkan bacaan Qasidah Imamul Hadad yang dipimpin oleh Habib Muhammad Muhdhor Al Habsyi di hadapan Tun Wan Junaidi.
Turut hadir dalam kunjungan ini ialah Timbalan Yang di-Pertua HAK Malaysia Syed Husin Habib Omar, penceramah dari Terengganu Ustaz Syed Abdul Martin Syed Husin Al Edrus, Pengerusi Masjid Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Paiman Karim, ahli-ahli HAK Malaysia serta tetamu jemputan lain.