KUCHING, 5 Oktober: Penglibatan Sarawak dalam ekonomi angkasa bukan sekadar usaha mencapai orbit, sebaliknya membuka ruang kepada pembangunan kepakaran dan aktiviti ekonomi baharu yang boleh dimanfaatkan di negeri ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata teknologi angkasa kini semakin berkait rapat dengan pelbagai aktiviti di bumi, termasuk komunikasi, navigasi, pertanian, pemantauan alam sekitar dan pengurusan bencana.
“Sarawak sedang membina keupayaan dalam bidang berkenaan menerusi perancangan penubuhan agensi angkasa sendiri dan pelancaran nanosatelit pertama negeri menjelang 2030.
“Minat kita terhadap angkasa bukan sekadar untuk mencapai orbit. Ia adalah untuk memahami bagaimana keupayaan ini dapat menangani keperluan di Sarawak dan, dari masa ke masa, mewujudkan bidang kepakaran serta aktiviti ekonomi baharu.
“Nanosatelit berkenaan akan memberi keupayaan lebih besar untuk menggunakan data berasaskan angkasa bagi tujuan perancangan, pemantauan alam sekitar dan pengurusan sumber,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pembukaan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata ekonomi angkasa turut memerlukan kepakaran dalam bidang sains, kejuruteraan, komunikasi, data, penyelidikan dan pelaburan.
“Perkembangan itu membuka ruang kepada Sarawak untuk membangunkan kepakaran tempatan serta meneroka aktiviti ekonomi yang berkaitan dengan teknologi angkasa.
“Ekonomi angkasa merupakan antara bidang yang sedang dibangunkan Sarawak bersama kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, ketersambungan maju, infrastruktur pintar dan tenaga boleh diperbaharui,” jelasnya.
Tambah beliau, Sarawak perlu mempunyai infrastruktur, bakat, institusi, perniagaan dan kerjasama yang diperlukan supaya negeri ini bukan sahaja mampu menerima teknologi baharu, tetapi turut mencipta, membangunkan dan mengkomersialkannya.
Untuk rekod, IDECS 2026 bertemakan “Memperkasa Ekosistem Inovasi untuk Ekonomi Tanpa Sempadan: Bumi, Orbit dan Melangkaui”, dengan ekonomi angkasa antara bidang yang diketengahkan dalam persidangan berkenaan.
Oleh Masrin Affirah




