KUALA LUMPUR, 5 Oktober: Khidmat kaunseling dan pendamaian rumah tangga terus diperkukuh bagi membantu pasangan menangani konflik susulan peningkatan kes perceraian di negara ini yang merekodkan lebih 60,000 kes tahun lepas.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata usaha itu dilaksanakan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), antaranya melalui Badan Pendamai Keluarga yang diwujudkan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara.
Badan Pendamai Keluarga menyediakan perkhidmatan kaunseling keluarga dan tribunal perkahwinan kepada pasangan yang berdepan masalah rumah tangga.
Nancy berkata sejak mula beroperasi pada Oktober 2024, Badan Pendamai Keluarga LPPKN telah mengendalikan 236 kes pasangan setakat Ogos tahun ini.
Daripada jumlah itu, 31 pasangan atau 13.1 peratus berjaya didamaikan, manakala 24 pasangan lagi memilih untuk meneruskan sesi kaunseling bersama LPPKN.
“Bagi pihak kerajaan, usaha memperkukuh khidmat berkenaan penting susulan 60,457 kes perceraian direkodkan pada 2024, meningkat 4.1 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Forum Kebahagiaan Rumah Tangga di sini, hari ini.
Beliau berkata konflik rumah tangga bukan sahaja memberi kesan kepada pasangan, malah boleh menjejaskan kesejahteraan emosi anak-anak.
“Tinjauan Kesihatan Remaja Kebangsaan 2022 oleh Kementerian Kesihatan, yang melibatkan lebih 33,000 pelajar sekolah menengah, mendapati kira-kira satu daripada empat remaja mengalami kemurungan manakala satu daripada enam berasa kesunyian,” katanya.
Beliau berkata kes keganasan rumah tangga turut menunjukkan peningkatan apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 7,391 kes tahun lepas berbanding 5,507 kes pada 2023.
Sehubungan itu, Nancy berkata KPWKM menerusi Jabatan Pembangunan Wanita giat melaksanakan kempen “Hentikan Keganasan Rumah Tangga” bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu berkenaan.
Forum Kebahagiaan Rumah Tangga, yang diadakan sempena Bulan Kaunseling 2026 dan disertai 1,600 peserta dari seluruh negara, turut menyaksikan penganjuran 100 sesi Kelompok Psikopendidikan Keluarga yang dikendalikan oleh 100 kaunselor profesional berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia.
Penganjuran itu sekali gus mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records. – Bernama



