ALOR SETAR: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim 2.50 petang tadi bagi menghadiri Majlis Santapan Malam Diraja di Istana Arau, Perlis.
Lawatan rasmi ini merupakan yang pertama oleh Tun Wan Junaidi sejak dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Kehadiran beliau adalah atas undangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis, bersempena Sambutan Jubli Perak menandakan 25 tahun pemerintahan baginda.
Ketibaan Tun Wan Junaidi, dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah turut disertai oleh rombongan termasuk Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, serta isteri, Datin Sri Zuraini Abdul Jaabar.
Rombongan disambut meriah oleh Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis Yang Zaimey Yang Ghazali, bersama isteri Zuhainita Ujud serta Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis (Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Pembangunan Luar Bandar) Abu Bakar Hamzah, bersama isteri Faridah.
Turut hadir menyambut ketibaan ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri, termasuk Dato Che Sulaiman Shapie.
Majlis Santapan Malam Diraja yang dijadual berlangsung hari ini di Istana Arau merupakan acara kemuncak sambutan Jubli Perak.
Majlis berprestij ini turut dijangka dihadiri oleh Sultan Brunei Darussalam, Raja-Raja Pemerintah, wakil-wakil diraja serta Tuan-Tuan Yang Terutama dari seluruh negara.