PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi telah menerima kunjungan hormat rombongan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) di Astana Negeri Sarawak, hari ini.
Kehadiran rombongan diketuai Yang Dipertua PKMS Dr Wan Ali Tuanku Madhi bersama rombongan bertujuan menjemput Tun Wan Junaidi untuk menghadiri majlis makan malam sempena sambutan ulang tahun ke-85 persatuan tersebut di Hikmah Exchange & Event Center bermula 8.30 malam pada 26 Oktober ini.
“Antara acara yang dijadualkan adalah pelancaran Bangunan PKMS yang kini sedang dalam proses pembinaan di Jalan Patingan berhampiran kawasan antara Jalan Patingan dan Jalan Muhibbah.
“Pembinaan bangunan ini baru sahaja dimulakan, dengan jangkaan siap pada Mac 2026.
“Kehadiran Tun Wan Junaidi nanti bagi menyempurnakan pelancaran beberapa inisiatif penting,” katanya ketika ditemui pemberita selepas kunjungan hormat tersebut.
Selain itu, jelasnya, majlis tersebut juga akan menyaksikan pelancaran sebuah buku mengenai adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu di Sarawak.
Jelasnya, ia merupakan satu usaha PKMS dalam mendokumentasikan warisan budaya Melayu Sarawak.
Majlis makan malam tersebut dijangka dihadiri oleh kira-kira 500 tetamu, termasuk wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Sarawak serta jemputan khas dari Sambas dan Pontianak.
Katanya, PKMS juga berharap Tun dapat memberi nasihat dan pandangan mengenai usaha persatuan dalam memulihara sejarah dan warisan Melayu di Sarawak.
Sejak ditubuhkan, jelasnya, PKMS telah berusaha gigih untuk memastikan sejarah, budaya dan identiti Melayu Sarawak dipertahankan dan akan terus komited dalam usaha ini pada masa akan datang.