Jualan Rahmah bantu rakyat jimat hingga 30 peratus

Facebook
WhatsApp
DATUK Larry Sng Wei Shien merasmikan majlis pelancaran Program Jualan Rahmah di Pasar Julau, baru-baru ini. Foto Pusat Khidmat Parlimen Julau

JULAU: Penjimatan sekitar 20 hingga 30 peratus bagi pembelian barangan keperluan harian menerusi Program Jualan Rahmah mampu memberi kelegaan kepada isi rumah, khususnya golongan berpendapatan rendah yang berdepan tekanan kos sara hidup.

Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, program anjuran pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Bahagian Sarikei di Pasar Julau membolehkan masyarakat mendapatkan pelbagai barangan pada harga lebih rendah berbanding harga biasa.

Katanya, penjimatan daripada pembelian keperluan harian membolehkan isi rumah mengurus perbelanjaan dengan lebih baik, sekali gus menggunakan lebihan pendapatan bagi menampung keperluan lain.

“Program ini sangat baik kerana dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

“Saya menyokong pelaksanaan Jualan Rahmah di Pasar Julau dan berharap program seperti ini dapat diperluas lagi,” katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.

Antara barangan keperluan harian yang ditawarkan menerusi program tersebut termasuk makanan segar, telur, minyak masak, tepung dan pelbagai keperluan lain.

Tambahnya, skop program tersebut wajar terus diperluas dengan memberikan tumpuan kepada lebih banyak barangan asas yang mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan pengguna.

“Antara barangan yang diharapkan dapat dimasukkan dengan lebih meluas ialah gula, beras dan keperluan harian lain yang digunakan oleh setiap isi rumah.

“Lebih banyak barangan asas dapat ditawarkan pada harga Rahmah, lebih besar manfaat yang dapat dinikmati rakyat,” katanya.

Katanya, pelaksanaan program tersebut juga perlu terus diperkukuh di kawasan pesisir dan pedalaman supaya manfaat harga lebih rendah dapat dinikmati masyarakat tanpa mengira lokasi.

Beliau berharap aspek liputan dan kekerapan Jualan Rahmah diberikan perhatian agar pelaksanaannya dapat disesuaikan dengan keperluan komuniti setempat.

“Penggunaan kedai runcit tempatan sebagai lokasi tumpuan Jualan Rahmah di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak juga merupakan antara pendekatan yang boleh diperluas bagi mendekatkan program ini kepada pengguna.

“Ini satu usaha yang baik dan saya berharap ia dapat diteruskan serta diperkukuh dari semasa ke semasa supaya lebih ramai rakyat, khususnya golongan B40 di kawasan pesisir dan pedalaman, dapat menikmati manfaatnya,” katanya.

Katanya, manfaat program seperti itu dapat dirasai secara langsung menerusi penjimatan perbelanjaan harian, sekali gus membantu isi rumah mengurus kos sara hidup dengan lebih baik.

Oleh Earl Anek