Tujuh saman dikeluarkan dalam Op Perdagangan di Bau

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA BSPTD IPD Bau menjalankan pemeriksaan kenderaan sempena Op Perdagangan di sekitar Jalan Bau-Kuching, Jalan Jambusan dan Bandar Bau semalam. Foto IPD Bau

BAU, 10 November: Sebanyak tujuh saman dikeluarkan dalam Op Perdagangan yang dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di beberapa lokasi sekitar daerah ini, semalam.

Operasi yang berlangsung dari 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu melibatkan pemeriksaan di Jalan Bau-Kuching, Jalan Jambusan dan sekitar Bandar Bau.

Operasi berkenaan disertai seorang pegawai kanan polis dan dua anggota, dengan tumpuan diberikan kepada pemeriksaan kenderaan serta pematuhan undang-undang jalan raya, khususnya melibatkan kenderaan perdagangan.

Sepanjang operasi, sebanyak 30 kenderaan terdiri daripada motosikal, motokar, van, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lori diperiksa, selain 34 individu.

Daripada jumlah itu, tujuh saman dikeluarkan, masing-masing membabitkan empat saman PDRM (K) 257 dan tiga saman PDRM (K) 170A.

ANGGOTA BSPTD IPD Bau mengeluarkan saman kepada pemandu lori yang didapati melakukan kesalahan dalam Op Perdagangan di sekitar Daerah Bau. Foto IPD Bau

Antara kesalahan yang dikesan termasuk membawa muatan kenderaan perdagangan secara berbahaya atau tidak disusun dengan kemas, mengubah suai ekzos motosikal serta gagal mematuhi isyarat lalu lintas.

BSPTD IPD Bau mengingatkan pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan supaya memastikan muatan dibawa dengan selamat, tidak melebihi had yang dibenarkan serta diikat dan disusun dengan sempurna bagi mengelakkan risiko muatan terjatuh.

Pengguna motosikal turut diingatkan supaya tidak mengubah suai ekzos sehingga melanggar spesifikasi dan peraturan yang ditetapkan, manakala semua pengguna jalan raya perlu mematuhi lampu isyarat serta papan tanda lalu lintas.

BSPTD IPD Bau akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan dan pendidikan keselamatan jalan raya bagi meningkatkan disiplin serta kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya.

Oleh Shikin Mahmud