KANOWIT, 9 November: Golongan muda memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan kepimpinan, kestabilan organisasi dan pembangunan masyarakat, sekali gus menjadikan hubungan erat antara pemimpin dan generasi muda sebagai elemen yang perlu terus diperkukuhkan.
Perkara itu turut menjadi antara tumpuan pertemuan santai antara barisan kepimpinan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) N.49 Ngemah dan Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) N.49 Ngemah bersama Anyi Jana, hari ini.
Pertemuan berkenaan bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim, malah memberi ruang kepada golongan muda untuk bertukar pandangan, berkongsi idea serta membincangkan aspirasi dan hala tuju pembangunan kawasan Ngemah.
Dalam suasana penuh kemesraan dan semangat kekeluargaan, program itu turut memperlihatkan komitmen kedua-dua sayap pemuda untuk mengekalkan kesepakatan serta kerjasama dalam kalangan anak muda di peringkat akar umbi.
Hubungan baik antara kepimpinan dan golongan muda penting bagi melahirkan generasi berwawasan, berdaya saing serta bersedia memikul tanggungjawab kepimpinan pada masa hadapan.
Sehubungan itu, Pemuda PRS dan Pemuda GPS N.49 Ngemah terus menzahirkan pendirian untuk berdiri teguh bersama Anyi Jana, selain mengekalkan semangat kebersamaan dalam memperkukuhkan hubungan masyarakat setempat.
Oleh Tarani Lanting



