PHNOM PENH, 9 November: Kemboja menegaskan komitmennya untuk membanteras segala bentuk pemerdagangan manusia menerusi penguatkuasaan tindakan undang-undang yang ketat terhadap penyeludupan dan eksploitasi seksual, kata Jawatankuasa Kebangsaan Memerangi Pemerdagangan Manusia (NCCT) negara itu pada Isnin, lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan, NCCT menyatakan bahawa negara Asia Tenggara itu giat melaksanakan Protokol Palermo sebagai rangka kerja asas bagi menyiasat jenayah, mengenal pasti mangsa dan membawa suspek ke muka pengadilan.
Selain itu, pihak kerajaan turut menekankan pendirian tegasnya terhadap ancaman persilangan jenayah siber dan buruh paksa masa kini, dengan memaklumkan bahawa tindakan tegas telah diambil terhadap operasi penipuan dalam talian yang berkait rapat dengan pemerdagangan manusia.
Menurut NCCT, pihak berkuasa melancarkan operasi membanteras sindiket penipuan secara besar-besaran di semua lokasi yang dikenal pasti. Pasukan penguat kuasa undang-undang berjaya menutup ratusan premis penipuan haram serta menyelamatkan individu yang terperangkap di lokasi jenayah berkenaan.
NCCT memberi jaminan bahawa kerajaan kekal komited pada peringkat tertinggi dalam memerangi pemerdagangan manusia, terutamanya yang berkaitan dengan penipuan dalam talian.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan tindakan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menyiarkan Laporan Pemerdagangan Manusia 2026 bulan lepas, yang mengekalkan Kemboja pada Tahap 3, iaitu kedudukan terendah dalam rangka kerja penilaian AS itu. – Bernama




