Tujuh saman dikeluarkan dalam Op Motosikal di Jalan FAC Matang

Facebook
WhatsApp
POLIS menjalankan Op Motosikal (Sam­seng Jalanan) di Jalan FAC Matang, Kuching, bagi membanteras kegiatan lumba haram dan kesalahan lalu lintas.

KUCHING: Polis mengeluarkan tujuh saman terhadap penunggang motosikal dalam Op Motosikal (Sam­seng Jalanan) di Jalan FAC Matang, di sini, yang dijalankan semalam hingga awal pagi tadi.

Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, operasi bermula 11.00 malam hingga 4.00 pagi itu membabitkan kekuatan seorang pegawai kanan polis (PKP) dan enam pegawai rendah polis (PRP) Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT).

“Sebanyak enam motosikal dan enam individu lelaki diperiksa sepanjang operasi dijalankan.

“Sebanyak tujuh saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kenderaan Motor (Kaedah-Kaedah Pelesenan Pemandu) 1987 dan tiada saman dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1987,” menurut kenyataan IPD Padawan.

Antara kesalahan dikesan ialah tiada lesen memandu, tiada cermin pandang belakang, ubah suai struktur peralatan, ubah suai ekzos serta nombor pendaftaran yang tidak mengikut peraturan.

IPD Padawan turut memaklumkan dua penunggang motosikal ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan menunggang motosikal secara berbahaya di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kedua-dua suspek ditahan di lokasi berasingan dan dibawa ke Balai Polis Trafik untuk pemeriksaan lanjut dan laporan,” menurut kenyataan itu.

Menurut IPD Padawan, operasi berkenaan bertujuan mencegah kegiatan lumba haram di kawasan tumpuan serta memastikan tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku, khususnya ketika keadaan jerebu semasa operasi dijalankan.