KABONG, 26 November: Seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan polis selepas bertindak mengamuk dan merosakkan barangan di rumah bapanya sendiri di sebuah kampung di sini, gara-gara tidak berpuas hati ditegur supaya menguruskan perkahwinannya dengan teman wanita.
Dalam kejadian semalam, suspek yang tinggal bersama bapanya berusia 70 tahun dikatakan naik berang selepas ditegur kerana sering membawa teman wanitanya bermalam di rumah berkenaan tanpa ikatan perkahwinan yang sah.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek dipercayai bertindak agresif dengan menumbuk sebuah cermin hiasan yang tergantung di dinding ruang tamu sehingga pecah.
Lebih membimbangkan, suspek turut membaling sebatang besi spike ke arah bapanya, namun mangsa sempat mengelak dan tidak terkena objek berkenaan.
Menurut beliau, teguran bapa mangsa supaya suspek mengambil borang nikah di Pejabat Agama Islam Kabong menjadi punca tercetusnya pertengkaran tersebut.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok diketuai Inspektor Henry Muji berjaya menahan suspek pada hari ini di sebuah ladang sawit di Jalan Gerigat, Kabong,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil pemeriksaan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif amphetamine (AMPH) dan methamphetamine (METH).
Polis turut merampas sebatang besi spike yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Siasatan lanjut mendapati kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku, namun bapanya sebelum ini takut membuat laporan polis kerana suspek sering menunjukkan tingkah laku agresif dan dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Suspek juga mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Polis mengesahkan kes berkenaan telah selesai disiasat.
Oleh Adi Safarman




