IPD Lubok Antu periksa 189 kenderaan, 21 saman dikeluarkan

Facebook
WhatsApp
OPERASI Bersepadu Pencegahan Jenayah di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Engkilili, semalam. Foto: IPD Lubok Antu

LUBOK ANTU, 27 November: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu mempergiat usaha membanteras kegiatan jenayah dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya menerusi Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Engkilili, semalam.

Operasi yang diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah, Inspektor Nelson Ensit itu melibatkan seramai 20 anggota polis, terdiri daripada seorang Pegawai Kanan Polis dan 19 Pegawai Rendah Polis daripada pelbagai pangkat serta cawangan.

Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin berkata, operasi bersepadu berkenaan bertujuan mengurangkan kadar jenayah indeks, mencegah serta membanteras kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Menurut beliau, operasi itu turut memberi penekanan terhadap penguatkuasaan undang-undang lalu lintas bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.

“Sepanjang operasi dijalankan, pihak polis telah membuat pemeriksaan terhadap 189 buah kenderaan pelbagai jenis serta 201 individu.

“Hasil pemeriksaan dan sekatan jalan raya yang dilaksanakan, sebanyak 21 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata, operasi seumpama itu akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif pihak polis dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Daerah Lubok Antu sentiasa berada pada tahap terbaik.

Tambahnya, kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah amat penting bagi membantu pihak polis mengekang sebarang aktiviti yang boleh mengancam keselamatan komuniti.

IPD Lubok Antu turut komited mempertingkatkan rondaan, pemeriksaan dan operasi penguatkuasaan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat serta keselamatan pengguna jalan raya terus terjamin.

Oleh Adi Safarman