Sarawak berpotensi terokai pesawat elektrik

Facebook
WhatsApp

CITA-cita China untuk menyaingi Boeing dan Airbus dalam pasaran pesawat penumpang dunia belum nampak surut. Menerusi pesawat C919, pengeluar pesawat China, Commercial Aircraft Corporation of China (COMAC), sudah mampu menawarkan pilihan kepada syarikat penerbangan yang selama ini bergantung pada pesawat buatan kedua-dua pengeluar tersebut.

Namun, pasaran pesawat C919 masih tertumpu di China dan pada masa sama bagi memenuhi permintaan di negara sendiri, COMAC berdepan cabaran mendapatkan bekalan enjin dan komponen lain bagi meningkatkan pengeluarannya.

Ketika usaha itu masih berjalan, COMAC turut membangunkan pesawat untuk segmen penerbangan yang berbeza. Kali ini, sasarannya ialah perjalanan pendek antara bandar dengan sebuah pesawat yang direka untuk membawa sehingga 19 penumpang.

Jika pesawat C919 membakar bahan api jet untuk menghasilkan tujahan, pesawat baharu yang dinamakan CE-25A ini menggunakan tenaga daripada bateri untuk memutarkan sepuluh kipas dengan lima pada setiap sayap.

Pada 14 November lalu, CE-25A mencatat pencapaian penting apabila melaksanakan penerbangan sulung berawak dengan dua juruterbang dan seorang jurutera ujian penerbangan di dalam pesawat.

Penerbangan yang berlangsung di Binzhou, China selama 16 minit 38 saat itu dilaksanakan selepas pesawat tersebut berjaya menjalani 19 ujian penerbangan autonomi tanpa kru.

Masih banyak ujian dan penerbangan percubaan yang perlu dilaksanakan sebelum pesawat ini dapat disahkan memenuhi piawaian keselamatan serta memperoleh pensijilan untuk beroperasi secara komersial.

Namun, kejayaan ini merupakan satu permulaan yang memberangsangkan dan boleh dianggap sebagai langkah awal ke arah pembangunan serta pengembangan teknologi penerbangan lestari pada masa hadapan.

Pesawat CE-25A berpotensi menggantikan peranan DHC-6 Twin Otter yang kini digunakan untuk menghubungkan rangkaian Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) sedia ada.

Berdasarkan spesifikasi yang diumumkan, kedua-dua pesawat mempunyai kapasiti hampir setara, sekali gus menjadikan CE-25A sebagai calon yang sesuai untuk operasi laluan udara jarak dekat di kawasan yang mempunyai landasan pendek.

Kelebihan kepada Sarawak

Tambahan pula, usaha Sarawak memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui memberikan kelebihan sekiranya pesawat elektrik seperti CE-25A diperkenalkan pada masa hadapan.

Dengan liputan bekalan elektrik yang semakin meluas serta kapasiti penjanaan tenaga hijau yang tinggi, Sarawak berada dalam kedudukan yang baik untuk menyediakan kemudahan pengecasan walaupun di STOLport yang terletak di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Pesawat elektrik menawarkan pelepasan karbon yang jauh lebih rendah berbanding pesawat konvensional. Kelebihan ini bukan sahaja membantu mengurangkan kesan alam sekitar, malah boleh menjadi pemangkin kepada pencapaian sasaran sifar bersih karbon yang ditetapkan oleh banyak negara dan organisasi penerbangan antarabangsa.

Selain itu, penggunaan tenaga elektrik berpotensi menghasilkan kos operasi lebih stabil kerana tidak bergantung sepenuhnya kepada bahan api jet yang harga pasaran serta bekalannya dipengaruhi oleh pelbagai faktor luaran yang sukar diramal dan dikawal.

Selari dengan kestabilan kos operasi ditambah dengan tahap kematangan yang diperlukan untuk operasi komersial dan digunakan secara meluas, pengurangan kos operasi ini berpotensi untuk syarikat penerbangan menawarkan tambang yang lebih berpatutan bagi penerbangan jarak dekat.

Namun, maklumat yang diumumkan setakat ini masih belum mencukupi untuk menilai keupayaan sebenar pesawat ini. Berat berlepas maksimum (MTOW) 10,000 kilogram yang diumumkan belum menjelaskan akan jarak penerbangan reka bentuk sejauh 400 kilometer ini mampu dicapai dengan muatan penuh penumpang dan bagasi serta berkeupayaan untuk menghadapi perubahan cuaca atau situasi luar jangka.

Hal ini kerana sebelum berlepas, tenaga yang diperlukan untuk sampai ke destinasi hanyalah sebahagian daripada pengiraan juruterbang. Jika hujan lebat menghalang pendaratan, pesawat mungkin terpaksa berlegar sementara menunggu cuaca pulih.

Ada kalanya lebih sesuai untuk terus menuju ke lapangan terbang lain. Kedua-dua pilihan itu masih terbuka kepada juruterbang selagi baki tenaga mengizinkan.

Berbeza dengan pesawat konvensional yang semakin ringan apabila bahan api digunakan, berat bateri adalah kekal sepanjang penerbangan hingga mendarat walaupun sebahagian besar tenaganya telah digunakan.

Justeru, sekiranya kapasiti bateri ditambah untuk memanjangkan jarak penerbangan, ada kemungkinan sebahagian daripada muatan yang boleh diperuntukkan kepada penumpang dan bagasi mungkin terpaksa dikurangkan.

Landasan STOLport terhad

Selain itu, walaupun kapasiti penumpang CE-25A hampir setanding dengan Twin Otter, berat pesawat yang lebih tinggi boleh memberi kesan kepada prestasi pendaratannya.

Keadaan ini berpotensi meningkatkan jarak yang diperlukan untuk memperlahankan dan menghentikan pesawat selepas mendarat, sekali gus boleh menimbulkan cabaran di STOLport yang mempunyai panjang landasan terhad.

Pada masa sama, berat pesawat yang lebih tinggi turut meningkatkan beban yang ditanggung oleh sistem pendaratan, tayar dan permukaan landasan. Faktor ini boleh menjejaskan STOLport pedalaman yang mungkin mempunyai had tertentu dari segi kekuatan turapan dan keadaan permukaan landasan.

Prestasi CE-25A mungkin berubah mengikut keadaan persekitaran, khususnya suhu dan altitud. Memandangkan sebahagian STOLport terletak di kawasan tanah tinggi, ketumpatan udara yang berkurangan boleh menjejaskan keupayaan kipas menghasilkan tujahan yang optimum, sekali gus mempengaruhi prestasi operasi pesawat.

Setelah CE-25A mendarat, antara cabaran yang perlu diatasi ialah tempoh pusingan pesawat sebelum dapat berlepas semula. Bagi pesawat konvensional, proses mengisi bahan api lazimnya dapat dilakukan dalam tempoh yang agak singkat.

Sebaliknya, pesawat elektrik memerlukan proses pengecasan semula bateri yang berpotensi mengambil masa lebih lama, bergantung pada kapasiti bateri serta keupayaan kemudahan pengecasan yang disediakan.

Berdasarkan pengalaman semasa dengan kenderaan elektrik, tempoh pengecasan boleh berbeza-beza mengikut kuasa pengecas dan kapasiti bateri.

Sekiranya situasi yang sama berlaku pada pesawat elektrik, masa persinggahan yang lebih panjang boleh menjejaskan kekerapan operasi harian sesebuah pesawat dan mengurangkan jumlah penerbangan yang dapat dilaksanakan dalam sehari.

Malah, sekiranya beberapa pesawat perlu dicas secara serentak, permintaan terhadap bekalan elektrik di lapangan terbang akan meningkat dengan ketara.

Oleh itu, keberkesanan operasi pesawat elektrik bukan sahaja bergantung kepada keupayaan sistem pengecasan, tetapi juga kepada kemampuan infrastruktur elektrik lapangan terbang untuk menampung permintaan kuasa yang tinggi tanpa menjejaskan operasi terminal dan kemudahan lain.

Prestasi bateri

Selain itu, bateri juga mempunyai jangka hayat yang terhad. Selepas melalui sejumlah besar kitaran pengecasan dan nyahcas, kapasiti penyimpanan tenaganya akan beransur-ansur merosot.

Bagi operasi komersial, pengendali perlu mengetahui bila prestasi bateri menghampiri had dibenarkan serta kos yang perlu ditanggung untuk menggantikan pek bateri tersebut.

Setakat ini, tempoh pengecasan dan jangka hayat bateri CE-25A masih belum diperincikan. Kedua-dua maklumat ini penting bagi membolehkan penilaian lebih tepat dibuat terhadap kos operasi sebenar dan potensi penjimatan yang boleh dicapai melalui penggunaan tenaga elektrik.

Dari sudut keselamatan pula, antara aspek yang perlu dibuktikan ialah keupayaan sistem mengesan sel bateri yang mengalami kenaikan suhu secara tidak terkawal serta menghalang penyebaran haba ke sel-sel bersebelahan.

Begitu juga dengan sistem pendorongan yang menggunakan sepuluh kipas. Jika beberapa motor berkongsi sumber kuasa atau rangkaian elektrik yang sama, satu kegagalan pada bahagian tersebut berpotensi menjejaskan lebih daripada satu kipas secara serentak.

Oleh itu, cabaran COMAC adalah untuk memastikan pesawat masih mempunyai kawalan dan kuasa mencukupi untuk meneruskan penerbangan serta mendarat dengan selamat walaupun berdepan kegagalan sedemikian.

Ketika China masih berusaha menyaingi Boeing dan Airbus menerusi C919, pembangunan CE-25A membuka satu lagi kemungkinan untuk penerbangan jarak dekat.

Bagi Sarawak, perkembangan ini wajar diikuti sehingga jelas kemampuan sebenar pesawat itu untuk beroperasi di STOLport dengan muatan dan kos yang sesuai bagi perkhidmatan pedalaman.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.