APM Saratok tangkap ular sawa batik sepanjang 0.9 meter di Taman Seroja Indah

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Saratok berjaya menangkap seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 0.9 meter di sebuah kediaman di Taman Seroja Indah, Saratok malam ini. Foto APM Saratok

SARATOK, 22 November: Seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 0.9 meter yang ditemukan di pagar pintu sebuah kediaman di Taman Seroja Indah mencetuskan kebimbangan penduduk sebelum berjaya ditangkap oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), malam ini.

Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 7.27 malam berhubung penemuan seekor ular di pagar pintu kediaman berkenaan.

Menurutnya, sejurus menerima laporan, tiga anggota Skuad Aspa digerakkan ke lokasi dan tiba pada 7.35 malam untuk menjalankan operasi menangkap ular berkenaan.

“Setibanya di lokasi, ketua skuad telah berjumpa dengan pengadu untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kedudukan ular sebelum operasi dijalankan.

“Anggota turut memastikan pemakaian kelengkapan perlindungan diri (PPE) bagi menjamin keselamatan sepanjang operasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ular sawa batik sepanjang kira-kira 0.9 meter itu berjaya ditangkap menggunakan teknik menyepit ketika berada di pagar pintu kediaman.

Operasi yang melibatkan tiga anggota itu selesai pada 7.48 malam.

Tambahnya, operasi berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

APM turut menasihati orang ramai supaya tidak cuba menangkap atau menghampiri ular yang ditemukan, sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan bagi mengelakkan risiko kecederaan.

Oleh Adi Safarman