Pelancongan sumbang 15.9 peratus kepada KDNK negara

Facebook
WhatsApp
RASMI... Chiew Choon Man (kanan) bersama Mohd Hazwan Musley mencantumkan beberapa kepingan logo kempen 'Jelajah Bersama Maxim' simbolik pelancaran kempen berkenaan hari ini.

MIRI, 23 November: Industri pelancongan menyumbang sebanyak 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dengan nilai RM323 bilion pada 2025, sekali gus membuktikan kepentingannya sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, pembangunan industri itu memerlukan kerjasama erat semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, pemain industri dan komuniti setempat.

Menurutnya, kerjasama antara Maxim Malaysia dan Pelancongan Malaysia menerusi kempen ‘Jelajah Bersama Maxim’ merupakan antara inisiatif yang dialu-alukan bagi memperkukuh promosi pelancongan negara.

Beliau berkata, Sarawak mempunyai potensi pelancongan yang besar menerusi kepelbagaian budaya, keunikan rumah panjang, khazanah alam semula jadi dan destinasi ekopelancongan.

Katanya, Sarawak turut memiliki dua Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah, selain pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO.

Bagaimanapun, katanya, usaha mempromosikan destinasi pelancongan perlu disokong kemudahan akses dan sistem pengangkutan yang mudah, selamat serta mesra pengguna.

“Pengalaman pelancongan yang baik bukan sahaja bergantung kepada keindahan sesuatu destinasi, tetapi juga kemudahan untuk sampai ke destinasi tersebut dan bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran kolaborasi Maxim dan Pelancongan Malaysia sempena kempen ‘Jelajah Bersama Maxim’ di sini, hari ini.

Tambahnya, inisiatif berkenaan termasuk penjenamaan kenderaan bertemakan pelancongan dan pengedaran bahan promosi bagi memperkenalkan destinasi menarik negara kepada orang ramai.

Beliau berharap kerjasama itu dapat memperluas penggunaan teknologi digital dalam menyokong pembangunan industri pelancongan yang lebih moden, inklusif dan mesra pengguna.

Hadir sama, Pengerusi Maxim, Dato Dr Tengku Rethwan Tengku Mansor, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej, mewakili Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Zuraini Abs Ghani dan Pengarah Maxim, Mohd Hazwan Musley.

Oleh Liong Chai Ling