Tuchel pertahan taktik selepas impian England musnah

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PENGURUS England, Thomas Tuchel, memberikan reaksi ketika perlawanan separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara England dan Argentina. Foto AFP

ATLANTA: Pengurus England, Thomas Tuchel, mempertahankan pendekatan taktikalnya selepas impian The Three Lions untuk mara ke final Piala Dunia berakhir dengan kekalahan dramatik 2-1 kepada juara bertahan, Argentina, awal pagi tadi.

England dilihat berada di landasan terbaik untuk mara ke final Piala Dunia pertama sejak 1966 apabila Anthony Gordon meledak gol pendahuluan pada awal babak kedua di Stadium Mercedes-Benz, Atlanta.

Bagaimanapun, England kemudian diasak bertubi-tubi oleh Argentina sebelum jaringan Enzo Fernandez dan Lautaro Martinez memastikan kemenangan dramatik buat juara bertahan itu.

Tuchel mengakui pasukannya menjadi “terlalu pasif” selepas mendahului perlawanan.

“Kami kecewa kerana sudah begitu hampir, tetapi kami menjadi terlalu pasif selepas menjaringkan gol dan membenarkan lawan mencipta terlalu banyak peluang.

“Kami gagal menguasai semula penguasaan bola dan akhirnya membenarkan terlalu banyak hantaran lintang, percubaan serta peluang ke arah gawang,” katanya kepada BBC.

Jurulatih dari Jerman itu dijangka berdepan kritikan terhadap beberapa pertukaran pemain, khususnya keputusan mengeluarkan penjaring gol Anthony Gordon untuk digantikan pertahanan Ezri Konsa pada minit ke-72.

“Dalam beberapa perlawanan sebelum ini saya juga membuat pertukaran bersifat menyerang. Kali ini kami hanya cuba membantu para pemain.

“Kami terus dibolosi peluang sejurus selepas itu dan memutuskan untuk menggunakan lima pemain di benteng pertahanan kerana ruang yang ditinggalkan terlalu terbuka.

“Malah sebaik sahaja kami menjaringkan gol, sebelum sebarang pertukaran dibuat, kami sudah membenarkan terlalu banyak hantaran lintang dan peluang. Jadi kami cuba memperkemaskan keadaan,” katanya.

Ketika ditanya dalam sidang media sama ada beliau tersilap dari segi taktikal, bekas pengendali Chelsea dan Paris Saint-Germain (PSG) itu menafikannya.

“Tidak. Saya fikir itulah lumrah bola sepak.

“Apabila anda kalah, anda akan dikritik. Tiada siapa tahu apa yang akan berlaku jika kami membuat keputusan yang berbeza.

“Jadi tiada gunanya saya memikirkan perkara itu. Saya bertanggungjawab atas setiap keputusan yang dibuat dan saya bersedia menerima kritikan,” katanya.

Mengulas mengapa England tidak terus bermain secara lebih agresif selepas mendahului, Tuchel berkata pasukannya gagal menguasai semula bola.

“Sudah tentu kami mahu mencari gol kedua, tetapi ia tidak membantu jika kami tidak dapat menguasai bola.

“Saya tidak merasakan pertukaran pemain yang lebih menyerang akan membantu ketika itu.

“Kami gagal memenangi perebutan bola dan mengekalkan penguasaan. Ia bukan masalah struktur pasukan kerana kami tidak mengubah sistem, tetapi corak perlawanan berubah sepenuhnya,” katanya.

Tuchel menandatangani lanjutan kontrak selama dua tahun pada Februari lalu yang akan menyaksikannya kekal membimbing England sehingga Kejohanan Euro 2028 yang akan dianjurkan bersama oleh negara itu.

Ditanya sama ada beliau menjangka akan terus kekal sebagai pengurus England selepas kekalahan itu, Tuchel menegaskan beliau berhasrat untuk menghormati kontraknya.

“Kami akan terus bekerja mengikut kontrak sehingga Euro di laman sendiri. Walaupun ketika ini sukar untuk memikirkan perkara yang masih jauh, saya tetap menantikannya,” katanya. – AFP