KUCHING: Minuman tradisional Sarawak, tuak, bakal mendapat perhatian antarabangsa apabila lapan pengeluar tempatan dihimpunkan menerusi program ‘Bufet Tuak’ sempena Persidangan Tahunan Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) Bandar Gastronomi 2026.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, inisiatif itu bukan sekadar memperkenalkan pengalaman menikmati tuak kepada pengunjung, malah menjadi platform untuk menghargai warisan masyarakat pribumi Sarawak serta menyokong pengusaha tempatan.
Menurutnya, Bufet Tuak merupakan antara program istimewa yang diperkenalkan sempena penganjuran acara antarabangsa itu bagi mengetengahkan salah satu elemen unik dalam gastronomi Sarawak.
“Bufet Tuak bukan hanya mengenai menikmati tuak, tetapi turut meraikan warisan pribumi Sarawak, menyokong pengeluar tempatan serta memperkenalkan satu lagi aspek unik gastronomi Sarawak kepada pelawat dari Malaysia dan seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penganjuran Persidangan Tahunan UCCN Bandar Gastronomi 2026 di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) hari ini.
Beliau berkata, pengunjung berpeluang menikmati sesi merasa tuak daripada lapan pengeluar tempatan dengan bayaran RM50 seorang.
Setiap gerai pengeluar akan menyediakan dua gelas tuak berukuran 30 mililiter, sekali gus membolehkan pengunjung mengenali kepelbagaian rasa, kaedah penghasilan serta tradisi pembuatan tuak daripada pengeluar yang berbeza.
Menurut Wee, usaha itu selaras dengan semangat Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO yang melihat gastronomi bukan sekadar sebagai makanan, tetapi sebahagian daripada identiti budaya, kreativiti dan pembangunan komuniti.
Jelasnya, setiap hidangan dan minuman tradisional membawa kisah berkaitan sejarah, masyarakat serta warisan yang diwarisi secara turun-temurun.
“Gastronomi adalah tentang manusia. Ia menyokong petani, nelayan, pengeluar makanan, penjaja, cef dan usahawan sekali gus membantu mewujudkan peluang pekerjaan, mengembangkan sektor pelancongan serta memelihara tradisi,” ujarnya.
Selain Bufet Tuak, pengunjung turut berpeluang menikmati pengalaman gastronomi antarabangsa menerusi Pavilion Gastronomi UCCN yang akan berlangsung sempena Festival Kuching 2026.
Program itu akan menampilkan cef daripada Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO seluruh dunia yang akan menyediakan hidangan tradisional masing-masing secara langsung.
Antara bandar yang mengambil bahagian ialah Chengdu dan Quanzhou dari China, Buraydah dan Madinah dari Arab Saudi, Iloilo dari Filipina, Belo Horizonte dari Brazil, Lucknow dari India serta Nkongsamba dari Cameroon.
Wee berkata, gabungan pengalaman gastronomi tempatan dan antarabangsa itu menjadikan penganjuran UCCN Bandar Gastronomi 2026 sebagai peluang unik untuk Kuching memperkenalkan kepelbagaian budaya makanan Sarawak kepada dunia.
“Setiap delegasi yang pulang nanti akan menjadi duta kepada Kuching. Mereka akan mengingati makanan kita, budaya kita dan masyarakat kita,” katanya.
Oleh Adele Rissa





