WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) dipilih, Donald Trump melantik usahawan Lubnan-Amerika, Massad Boulos, sebagai penasihat kanan Presiden mengenai urusan Arab dan Asia Barat.
“Saya berbangga untuk mengumumkan bahawa Massad Boulos akan berkhidmat sebagai Penasihat Kanan kepada Presiden mengenai urusan Arab dan Asia Barat,” kata Trump di Truth Social mengenai pelantikan itu, ahli keluarga terbaru yang dilantik ke jawatan penting.
Ini menyaksikan Trump menempatkan bapa mentua kepada anak perempuannya, Tiffany dalam jawatan utama di Rumah Putih.
Anak lelaki Boulos, Michael, berkahwin dengan Tiffany.
Boulos adalah utusan utama untuk kempen Trump, membantu menggerakkan pengundi Arab-Amerika dan Muslim, yang menyaksikan ramai di antara mereka marah dengan sokongan teguh Presiden Joe Biden terhadap Israel dalam peperangan Gaza.
Ahli perniagaan itu dilihat akan mengendalikan portfolio yang sukar, dengan peperangan Israel yang masih berlarutan di Gaza, gencatan senjata rapuh antara Israel dan Hizbullah di Lubnan yang menyaksikan pertembungan dengan pasukan pemberontak di Syria yang bangkit melawan kerajaan pimpinan Bashar al-Assad.
Semalam, Trump melantik eksekutif hartanah, Charles Kushner, bapa kepada menantu lelakinya, Jared menjadi duta AS ke Perancis.
Ia dilihat sebagai keputusan Trump yang mengabaikan aspek pengalaman atau kepakaran sebagai kriteria untuk menyertai pasukan pentadbirannya.
“Massad adalah seorang peguam yang berjaya dan pemimpin yang sangat dihormati dalam dunia perniagaan, dengan pengalaman luas di peringkat antarabangsa,” kata Trump mengenai pelantikannya sebagai penasihat Asia Barat.
“Dia telah lama menjadi penyokong nilai-nilai Republikan dan Konservatif, aset kepada kempen saya, dan berperanan penting dalam membina koalisi besar dengan Komuniti Arab Amerika.”
Trump merujuk kepada Boulos sebagai “seorang pembuat perjanjian.”
Trump sering berjanji semasa kempen untuk mengakhiri segera peperangan di Gaza, Ukraine dan di tempat lain, tanpa menjelaskan bagaimana beliau akan melakukannya.
Bercakap kepada Sky News yang berpusat di UK Oktober lalu, Boulos berkata, adalah penting untuk menyelesaikan peperangan “dengan cepat.”
“Apa yang dimaksudkan dengan menyelesaikannya dengan cepat adalah, anda mempunyai beberapa sasaran ketenteraan yang perlu dicapai, iaitu untuk menghapuskan infrastruktur Hamas dan kemampuan mereka untuk melancarkan serangan baru dan sebagainya,” katanya.
“Marilah kita bergerak ke arah keamanan, dan marilah kita bergerak ke arah membina semula Gaza dan membina semula Lubnan,” tambahnya.
“Kami mahu Gaza menjadi makmur. Kami mahu rakyat Palestin menjadi makmur, hidup dalam keamanan, hidup dalam harmoni, berdampingan dengan orang Israel dan dengan keselamatan penuh di kedua-dua belah pihak.”
Keluarga Boulos mengendalikan sekurang-kurangnya dua syarikat pengedaran alat ganti automotif di Nigeria.
Perniaga ini, seorang anggota komuniti Kristian Maronit, pernah bertanding untuk kerusi parlimen Lubnan.
Trump mula menerima kritikan kerana beberapa pelantikan kontroversi untuk jawatan penting dalam pentadbiran Rumah Putih yang akan datang.
Kushner yang lebih berusia, yang juga seorang peguam, pernah dipenjarakan kerana penipuan cukai. Trump memberi pengampunan kepadanya pada 2020 menjelang penghujung penggal pertamanya.
Trump juga melantik penyokong setia Kash Patel sebagai pengarah baru Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), satu langkah yang akan menggantikan pemimpin agensi itu sebelum tamat penggalnya.
Patel, seorang pembela tegar presiden yang akan datang, menyokong pandangan keras Republikan mengenai “negara dalam negara” anti-Trump yang kononnya terdiri daripada birokrat kerajaan yang berat sebelah yang berusaha menyekat Trump dari belakang tabir, bahkan menulis buku mengenai perkara ini. – AFP