RIYADH, Arab Saudi: Kumpulan Houthi di Yaman didakwa menyerang sebuah stesen pengagihan elektrik di kota suci Madinah, Arab Saudi, menurut gabungan diketuai Arab Saudi, sekali gus mencetuskan kecaman keras daripada beberapa negara Islam.
Pejuang yang disokong Iran dan menguasai Sanaa serta kawasan pantai Laut Merah di Yaman itu berulang kali melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke Arab Saudi sejak kerajaan berkenaan campur tangan dalam perang saudara Yaman pada 2015, meskipun serangan terhadap kota suci Islam jarang berlaku.
Riyadh yang menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa sebelum ini turut menuduh Houthi melancarkan serangan dron terhadap Makkah pada pertengahan September, namun dakwaan itu dinafikan kumpulan berkenaan.
Jurucakap gabungan, Mejar Jeneral Turki al-Maliki berkata sebuah dron melanda stesen pengagihan elektrik Taibah pada 5.11 pagi (2.11 pagi GMT) pada 29 September.
“Siasatan dan bukti yang dikumpulkan pihak berkuasa berkaitan mengesahkan penglibatan Militia Houthi pengganas dalam merancang dan melaksanakan tindakan keganasan pengecut ini berdasarkan penelitian selepas kejadian serta serpihan dron yang digunakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Gabungan itu berkata sebuah pengubah kuasa terpaksa dihentikan operasinya, namun tidak menjejaskan keseluruhan rangkaian bekalan elektrik.
Al-Maliki berkata kemudahan berkenaan membekalkan elektrik kepada Masjid Nabawi dan menyifatkan kejadian itu sebagai “sambungan kepada cubaan militia ekstremis berkenaan untuk menyasarkan Dua Masjid Suci”.
Pada Khamis, seorang pegawai kanan Houthi sekali lagi menafikan sebarang tanggungjawab terhadap serangan ke atas tapak suci berkenaan, menurut media Houthi.
Madinah merupakan tempat bersemadinya Nabi Muhammad SAW dan lokasi Masjid Nabawi, sekali gus menjadikannya antara tempat paling suci dalam Islam bersama-sama Makkah.
Turkiye mengecam keras serangan yang didakwa berlaku itu serta menyatakan sokongan kepada Arab Saudi.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya serangan Houthi terhadap infrastruktur awam” di Madinah, kata Kementerian Luar Turkiye dalam satu kenyataan.
“Serangan provokatif ini yang mengancam kedaulatan dan keselamatan Arab Saudi serta menyasarkan nilai suci dunia Islam mesti dihentikan serta-merta dan tanpa syarat.”
Sudan turut mengulangi pendirian “solidariti penuh” terhadap Arab Saudi serta menyokong usaha melindungi keselamatan dan tempat-tempat suci negara itu.
Sudan berkata “serangan itu merupakan kesinambungan corak tindakan militia Houthi yang menyasarkan tapak suci Islam dan mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia”.
Turkiye, Pakistan dan Arab Saudi terikat dengan pakatan pertahanan bersama yang ditandatangani di Makkah pada Ogos.
Islamabad dan Ankara setakat ini masih belum mengambil tindakan terhadap serangan yang dilancarkan Houthi dari Yaman terhadap Arab Saudi. – AFP





