MIRI: Timbalan Menteri Pelancongan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting, telah memperuntukkan RM150,000 menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi menaik taraf kemudahan tempat menunggu dan laluan pejalan kaki di SMK Lutong.
Kemudahan berkenaan bertujuan mengatasi kesesakan pada waktu pulang sekolah serta kesukaran yang dihadapi pelajar ketika menunggu pengangkutan, khususnya pada hari hujan.
Ting berkata projek berkenaan telah siap pada 21 September lalu dan diserahkan secara rasmi kepada pihak sekolah untuk digunakan.
Beliau berkata projek itu melibatkan pemanjangan laluan pejalan kaki sedia ada sepanjang kira-kira 280 meter, selain pembinaan laluan pejalan kaki konkrit bertetulang sepanjang 53 meter di hadapan tempat menunggu.
Beliau yang meninjau projek yang telah siap itu semalam berkata pertambahan jumlah pelajar di SMK Lutong telah meningkatkan tekanan terhadap kemudahan tempat menunggu sedia ada yang tidak lagi mencukupi untuk menampung keperluan sebenar, terutama pada waktu puncak selepas sekolah.
“Pada hari hujan, keadaan menjadi lebih mencabar apabila sebilangan besar pelajar terpaksa berkumpul di kawasan tempat menunggu yang terhad,” katanya.
Ting berkata projek itu bertujuan menaik taraf tempat menunggu dan laluan pejalan kaki sedia ada supaya pelajar mempunyai ruang yang lebih selesa untuk menunggu pengangkutan serta dapat berjalan dengan lebih selamat selepas tamat sesi persekolahan.




