KOTA SAMARAHAN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Samarahan bakal mula menerima kemasukan pelajar bulan ini, sekali gus memperluas akses pendidikan menengah kepada masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, pembukaan sekolah berkenaan mencerminkan usaha berterusan memperkasa kemudahan pendidikan di kawasan itu.
Beliau berkata, perkembangan prasarana pendidikan di Kota Samarahan ketika ini amat menggalakkan, khususnya dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, kondusif dan selamat untuk generasi muda.
“Saya amat berbesar hati melihat perkembangan kemudahan pendidikan di kawasan Kota Samarahan yang terus diperkasakan bagi menyediakan suasana pembelajaran yang lebih selesa, kondusif dan selamat untuk anak-anak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke SMK Sri Samarahan bagi meninjau persediaan sekolah berkenaan sebelum mula menerima kemasukan pelajar, hari ini.
Menurut Rubiah, pembukaan sekolah itu dijangka memberi manfaat kepada masyarakat setempat dengan menyediakan akses pendidikan yang lebih baik kepada pelajar di kawasan berkenaan.
Katanya, kemudahan pendidikan berkualiti penting dalam membentuk persekitaran pembelajaran yang dapat menyokong perkembangan akademik, sahsiah serta potensi pelajar secara menyeluruh.
“Semoga SMK Sri Samarahan dapat menjadi sebuah institusi pendidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat serta melahirkan generasi muda yang berilmu, berdaya saing dan mempunyai masa depan yang cerah,” katanya.
Rubiah turut mengucapkan selamat datang kepada para pelajar yang bakal memulakan sesi persekolahan di sekolah berkenaan, selain berharap mereka memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan.




