SIBU, 7 November: Sukan memanah berpotensi dijadikan produk pelancongan baharu di Sibu menerusi penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa yang lebih besar pada tahun depan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata pihak penganjur digalakkan mengemukakan cadangan bagi membolehkan kementeriannya bersama Tourism Malaysia mempertimbangkan kerjasama menjayakan acara berkenaan.
“Saya berharap pihak penganjur dapat mengemukakan cadangan untuk tahun depan. Kementerian dan Tourism Malaysia boleh bekerjasama untuk menjayakan pertandingan memanah antarabangsa ini,” katanya ketika berucap merasmikan Forum dan Bengkel Kejurulatihan Memanah Antarabangsa dan Kesejahteraan 2026 di Kingwood Hotel, di sini, hari ini.
Menurutnya, penganjuran kejohanan itu boleh dimasukkan dalam kalendar aktiviti sempena Tahun Melawat Malaysia 2027, sekali gus menjadikan Sibu antara lokasi tumpuan acara sukan antarabangsa di Sarawak.
Beliau berkata usaha berkenaan akan dibincangkan bersama Tourism Malaysia bagi mengenal pasti pendekatan terbaik untuk menarik lebih ramai peserta luar negara menyertai pertandingan memanah di negeri ini.
Selain merancakkan sektor pelancongan, penyertaan pemanah antarabangsa turut memberi peluang kepada atlet tempatan meningkatkan pengalaman, kemahiran dan jaringan dalam sukan berkenaan.
Dalam usaha memastikan pembangunan sukan itu berterusan, Tiong turut menggalakkan lebih ramai golongan muda menceburi sukan memanah menerusi kerjasama persatuan dengan sekolah, komuniti dan organisasi sukan.
“Pembangunan bakat muda memerlukan latihan yang teratur, bimbingan berkualiti serta sokongan berterusan bagi melahirkan atlet yang mampu bersaing pada peringkat lebih tinggi,” katanya.
Sebagai sokongan kepada usaha berkenaan, beliau mengumumkan sumbangan RM15,000 bagi membantu penganjuran bengkel itu.
“Saya berharap program ini dapat diperluas pada masa depan dengan penyertaan lebih banyak negara, sekali gus memperkukuh pembangunan sukan memanah di Sibu dan Sarawak,” tambahnya.
Oleh Tarani Lanting




