SIBU: Lapan pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi menerima sumbangan peribadi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Dato Sri Tiong King Sing.
Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Bahagian Dudong, Kaunselor Datuk Teo Boon Siew, yang mewakili Tiong dalam majlis penyampaian itu, menyatakan bahawa sumbangan berupa komputer riba dan mesin pencetak diberikan untuk menyokong keperluan pembelajaran pelajar terbabit.
“Pelajar-pelajar ini memerlukan komputer riba dan mesin pencetak bagi urusan pembelajaran mereka di institusi pengajian tinggi. Oleh itu, Tiong dengan murah hati menyumbangkan peralatan tersebut demi kemudahan mereka,” katanya dalam satu majlis ringkas baru-baru ini.
Selain pelajar, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Jemat Ulak dan JKKK Bukit Enjin Jalan Sungai Pak turut menerima sumbangan yang sama.
Boon Siew berharap sumbangan ini akan memberi manfaat kepada penerima dalam melancarkan urusan pembelajaran mereka.
“Tiong sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat. Selain komputer riba dan mesin pencetak, beliau turut menyalurkan pelbagai bentuk bantuan lain, termasuk kebajikan,” katanya.
Beliau turut menasihati penduduk di kawasan Dudong untuk memohon sebarang bantuan di Pejabat Pusat Khidmat PDP Bahagian Dudong, Jalan Aman, pada waktu pejabat.
Oleh TARANI LANTING