KUCHING: Telekom Malaysia (TM) digesa mengambil tindakan segera terhadap sebuah tiang telefon yang dilaporkan telah lama senget di Lorong Stakan 9 kerana dikhuatiri boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada penduduk dan pengguna jalan raya.
Pembantu Khas Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong Feng Nian berkata, penduduk terjejas telah mengemukakan aduan secara terus kepada TM sejak Jun 2026, namun masalah berkenaan masih belum diselesaikan meskipun beberapa kali tindakan susulan dibuat.
“Perkara ini tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan. Tiang telefon yang jelas senget berpotensi menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk, pemandu kenderaan dan pengguna jalan raya lain, khususnya sekiranya keadaannya semakin buruk,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, dalam kes berkenaan, penduduk tidak terus membawa masalah itu kepada wakil rakyat, sebaliknya terlebih dahulu mengemukakan aduan kepada syarikat utiliti terbabit.
“Namun, sudah berbulan-bulan berlalu dan masalah ini masih belum diselesaikan dengan sewajarnya,” katanya
Beliau berkata, penduduk tidak sepatutnya terpaksa membuat aduan berulang kali dan melakukan susulan selama berbulan-bulan bagi isu penyelenggaraan serta keselamatan yang sepatutnya dapat ditangani.
Katanya, apabila tiang yang berpotensi membahayakan telah dilaporkan, penyedia utiliti bertanggungjawab seharusnya menjalankan pemeriksaan, menilai tahap risiko dan mengambil tindakan pembaikan sewajarnya.
Sehubungan itu, Kong menggesa TM segera memeriksa tiang berkenaan dan menyelesaikan masalah tersebut tanpa berlengah, sama ada dengan menggantikan, meluruskan atau mengukuhkannya.
“TM juga perlu memberikan kemas kini yang jelas kepada penduduk mengenai tindakan yang sedang diambil.
“Saya berharap TM memandang serius perkara ini dan menyelesaikannya sebelum keadaan tiang tersebut menjadi lebih buruk,” katanya.
Oleh Connie Chieng




