SARIKEI: Seramai tujuh Ketua Isi Rumah (KIR) dikenal pasti terjejas akibat ribut kencang yang melanda beberapa kawasan semalam, dengan pemantauan kini tertumpu kepada mengenal pasti kerosakan kediaman dan keperluan mangsa untuk tindakan susulan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi, berkata pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarikei menjalankan pemantauan pagi tadi di empat kawasan yang dilaporkan terjejas.
Katanya, kawasan berkenaan ialah Kampung Drahman Keria, Kampung Pengiran Kadir, Kampung Sharif Masahor dan Jalan Ixora di Kampung Seberang.
“Pasukan APM Sarikei telah menjalankan pemantauan di kawasan yang dilaporkan terjejas serta mengambil maklumat daripada mangsa bagi mengenal pasti kesan kejadian dan kerosakan yang berlaku.
“Proses pengumpulan maklumat dilakukan bagi mendapatkan gambaran mengenai kesan ribut terhadap setiap keluarga sebelum tindakan selanjutnya diambil oleh pihak berkaitan.


ANGGOTA APM Sarikei meninjau keadaan kediaman penduduk yang terjejas akibat ribut kencang di empat kawasan di Sarikei, pagi tadi. Foto APM Sarikei
“Maklumat yang dikumpulkan meliputi keadaan kediaman, jenis kerosakan serta keperluan mangsa untuk tindakan dan bantuan lanjut daripada agensi berkaitan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, pengumpulan maklumat di lapangan penting bagi memastikan butiran mengenai mangsa dan kerosakan direkodkan dengan tepat sebelum disalurkan kepada agensi berkaitan untuk menentukan tindakan seterusnya.
“Pemantauan dan pengumpulan maklumat mangsa telah dilaksanakan. Seramai tujuh KIR direkodkan terlibat di kawasan yang dikenal pasti.
“Maklumat mangsa dan kerosakan akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan disalurkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut sekiranya diperlukan,” katanya.
Oleh Earl Anek




