BINTULU: Kerajaan Sarawak terus fokus dalam meningkatkan hasil pendapatan rakyat menerusi pembangunan sektor pertanian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Majang Renggi berkata, oleh sebab itu pelbagai program telah dianjurkan oleh kerajaan bersama Jabatan Pertanian untuk memajukan sektor terbabit.
“Kerajaan mensasarkan bahawa Sarawak akan menjadi status negeri maju menjelang tahun 2030.”
“Salah satu syarat untuk mencapai status tersebut adalah dengan mendatangkan pendapatan tinggi kepada isi rumah dan keluarga dan salah satu langkah adalah menerusi peranan dan peluang sektor pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) 2020 bertempat di Rumah Sating Anak Budan, KM67, Jalan Bintulu-Miri, anjuran Jabatan Pertanian Daerah Bintulu, semalam.
Menurut Majang program tersebut amat bertepatan untuk membolehkan penduduk khususnya di kawasan luar bandar untuk merapatkan hubungan dengan jabatan berkenaan.
“Ini merupakan kali kedua program seumpama ini dijalankan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samalaju”
“Gunakanlah peluang yang ada untuk saling bertukar-tukar pandangan khususnya berkaitan pertanian sepanjang program ini diadakan” katanya.
Tambah beliau, dengan program itu juga membolehkan penduduk saling mengenali antara satu sama lain dengan jabatan atau agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian.
“Sudah pasti program ini juga akan merapatkan hubungan antara penduduk dengan jabatan terlibat.”
“Ini akan mewujudkan kerjasama padu yang akan membolehkan setiap perancangan yang direncanakan berjalan dengan lancar,” katanya.
Sehubungan itu katanya, penduduk di kawasan Samalaju harus bijak memanfaatkan peluang menerusi pengeluaran hasil pertanian memandangkan Samalaju menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan peluang pekerjaan.
“Potensi pertanian amat cerah selaras dengan Samalaju merupakan kawasan industri utama negara,” katanya.
Terdahulu, Pemangku Pegawai Bahagian Bintulu, Anggang Jimbun memaklumkan bahawa antara tujuan program tersebut adalah memberi pendedahan berhubung teknologi pertanian disamping menambah ilmu pengetahuan berhubung sektor tersebut kepada penduduk.
Oleh Ellie Edward